Berita

Pimpinan PR mohon Khalid Ibrahim pertimbang semula kenaikan gaji wakil rakyat Selangor

KUALA LUMPUR, 3 DISEMBER: Kepemimpinan Pakatan Rakyat (PR) hari ini menyarankan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengkaji semula kenaikan gaji semua wakil rakyat di negeri itu.

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Abdul Khalid perlu memikirkan semula tindakannya kerana ia menimbulkan pelbagai reaksi negatif.

“Walaupun kami mengetahui kecaman daripada Barisan Nasional (BN) adalah tidak munasabah kerana mereka mendiamkan diri mengenai kenaikan di Sarawak, rasuah serta pembaziran, namun membesarkan isu Selangor.

“Tetapi atas kepekaan terhadap teguran rakyat, kami memutuskan untuk meminta MB dan Kerajaan Selangor menimbang semula dan mengkaji keputusan itu serta mengurangkan kepada kadar yang berpatutan.

“Secara prinsipnya kami setuju jumlah amaun harus dikurangkan sebelum ia dilaksanakan tahun depan. Kita harap MB boleh menggunakan kebijaksanaannya dalam perkara ini,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pimpinan PR.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang, pula menyatakan sebarang keputusan yang dibuat pimpinan Selangor perlu dilaksana pada kadar berpatutan.

“Saya sudah berjumpa dengan Tan Sri Khalid dan meminta beliau melakukan kajian semula yang munasabah sebelum melaksanakannya,” katanya.

Sementara itu, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menambah, sebarang pelaksanaan atau kenaikan perlu mengambil kira keutamaan dan kepentingan rakyat. -Roketkini.com