Rencana

Parlimen Muda Pulau Pinang : Pemberdayaan Anak Muda – Sara Ayuni

TAHUN ini adalah tahun keempat Parlimen Muda Pulau Pinang bersidang. Ya, sudah empat tahun. Pelbagai perubahan dilakukan dalam usaha untuk memastikan pelaksanaan program tahunan ini mencapai matlamatnya – menggalakkan penyertaan anak muda dalam proses membuat keputusan peringkat tempatan serta meningkatkan pemahaman tentang fungsi kerajaan tempatan.

Dengan tema ‘’Pemberdayaan Anak Muda’’, program yang berlangsung selama tiga hari dua malam ini dimulakan dengan lawatan ke MPPP. Peserta seramai 38 orang diberi pendedahan tentang tugas MPPP dan diteruskan dengan sesi soal jawab di antara wakil MPPP dengan Ahli Parlimen Muda.

Antara isu yang dibangkitkan adalah berkenaan George Town sebagai Tapak Warisan Sejarah UNESCO dan impaknya kepada masyarakat sekitar, kesesakan lalu lintas di Pulau Pinang, usaha meningkatkan kecekapan pengangkutan awam di Pulau Pinang dan pelaksanaan laluan berbasikal.

Seterusnya, Ahli Parlimen Muda menjalani bengkel yang dikelola oleh team UndiMalaysia. Bengkel ini diisi dengan pendedahan mengenai idea asas demokrasi dan proses pembabitan individu dan masyarakat dalam ruang demokrasi tempatan.

Peserta diperkenalkan dengan bentuk pembabitan politik di dalam dan di luar struktur rasmi. Lebih menarik, aktiviti ini dijalankan di tepi pantai, di Kompleks Sukan Air dan Rekreasi Pulau Pinang!

Aktiviti pada hari kedua diteruskan dengan Forum Parlimen Muda: Siapa Ahli Majlis? Forum kali ini adalah satu saluran untuk masyarakat memikirkan kembali fungsi dan peranan besar yang dimainkan Ahli Majlis dan Kerajaan Tampatan.

Forum ini dijayakan oleh Steven Sim Chee Keong (Ahli Parlimen Bukit Mertajam), Dr Lim Mah Hui (Ahli Majlis MPPP), Nur Zarina Zakarian (Ahli Majlis MPPP) dan Mohd Foaz Hamid (Ahli Majlis MPPP/Presiden Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang). Ahli Parlimen Muda mendapat pelbagai maklumat berkenaan dengan perbezaan tugas ahli majlis dan ahli Parlimen, juga cabaran yang dihadapi ahli majlis dalam menjalankan tugas mereka.

Sesi soal jawab berlangsung dengan hangat apabila Ahli Parlimen Muda mula mengemukakan persoalan pilihan raya untuk memilih ahli majlis, bagaimana ahli majlis membuat keputusan – ketaatan kepada parti atau kepentingan awam, juga mengenai isu pembangunan – pemaju atau kelestarian alam.

Sesi yang paling dinanti-nantikan Ahli Parlimen Muda tiba juga akhirnya. Mereka bangun seawal pagi, berpakaian dengan segak dan menanti sidang perbahasan bermula di Dewan Undangan Negeri.

Setelah tamat taklimat ringkas oleh Speaker Dewan, Law Choo Kiang, perbahasan bermula dengan usul yang dibentangkan Dalbinder Singh iaitu ‘Diskriminasi Perkauman di Malaysia Harus Dibendung’, dewan sebulat suara menyokong usul berkenaan.

Perbahasan menjadi semakin gamat dengan usul yang dibawa Kholisoh Omar iaitu Cadangan Penubuhan Jawatankuasa Khas untuk pelaksanaan Majlis Perkahwinan Anak Muda. Namun, ahli dewan sebulat suara menolak usul itu.

Usul yang diterima termasuk usul kerjasama antara Kerajaan Negeri, Kerajaan Tempatan, Syarikat GLC dan badan swasta untuk melatih anak muda dalam sektor perkhidmatan bagi mengurangkan masalah pengangguran; serta usul menjadikan Perlembagaan sebahagian daripada sukatan dalam pelajaran sekolah.

Parlimen Belia turut menolak cadangan menubuhkan jawatankuasa belia yang bekerjasama dengan majlis perbandaran tempatan; serta cadangan ‘membangunkan Negeri Pulau Pinang ke arah kemajuan untuk mencapai Wawasan 2020’.

Usul yang dipersetujui ahli dewan akan dikemukakan kepada Ketua Menteri Pulau Pinang untuk maklumbalas selanjutnya.

Jumpa lagi dalam Parlimen Muda tahun hadapan!-Roketkini.com

Sara Ayuni menganggotai Sekretariat Parlimen Muda Pulau Pinang