Berita

Agenda Lebuhraya PLUS: DAP sudah dedah sejak 1987

KUALA LUMPUR, 26 DISEMBER: Perjanjian kotor kerajaan demi mengkayakan kroni dalam pemberian kontrak projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) 26 tahun lalu akhirnya terbukti menyusahkan rakyat.

Dalam risalah bertajuk ‘Skandal Lebuhraya Utara Selatan’ terbitan 1987, Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang pernah mendedahkan kemungkaran UMNO yang dilihat mempunyai kepentingan kepada saham konsesi lebuhraya itu, namun sehingga kini masih diam membisu.

Antara yang dipertikaikan beliau adalah peranan syarikat pelaburan UMNO iaitu Hati Budi Sdn Bhd yang menguasai United Engineers Malaysia (UEM) Bhd.

Hati Budi ketika itu dikaitkan dengan pimpinan tertinggi kerajaan iaitu Tun Daim Zainuddin (Menteri Kewangan ketika itu) dan Dr Mahathir Mohamad.

UEM merupakan syarikat utama mendapat kontrak pembinaan PLUS dengan tempoh konsesi daripada 1987-2017 yang akan mengutip tol berjumlah RM54 bilion dalam tempoh 30 tahun.

“PLUS adalah projek yang menelan belanja RM3.4 bilion. Pemberikan kontrak kepada UEM menjadi satu persoalan yang tidak terjawab.

“UEM jelas tidak mempunyai ‘track record’ sama sekali dalam pembinaan jalan raya berbanding syarikat lain yang berpengalaman dan memohon tender sama seperti Pilecon serta Hashbuddin dengan kadar jauh lebih rendah.

“Ia jelas pemberian kepada UEM adalah semata-mata disebabkan pertalian unik Hati Budi dengan Daim dan Mahathir,” katanya dalam risalah itu.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen DAP Tanjung ketika itu turut menggesa Menteri Kerja Raya, Datuk S Samy Vellu mendedahkan identiti UMNO di sebalik syarikat Hati Budi.

Namun Samy Vellu tidak mahu membuka mulut dan hanya menyatakan fakta terbabit boleh didapati di Pejabat Pendaftar Syarikat.

“Saya telah menghantar orang untuk memeriksa fail syarikat itu, tetapi ia tidak boleh didapati.

“Persoalannya apakah ‘track record’ kewangan yang dimiliki UEM adalah sebuah ‘insolvent company’ sehingga boleh menawar untuk mendapat projek PLUS yang begitu besar?

“Satu pemeriksaan dilakukan ke atas Hati Budi menunjukkan bahawa pada 1984, ia cuma sebuah syarikat yang ditubuhkan dengan modal RM2 dan mempunyai dua pemegang saham.

“Adakah benar Hati Budi tidak perlu mengeluarkan sebarang wang tunai untuk membeli saham UEM kerana mendapat pinjaman bank OCBC sebanyak RM25 juta atas persefahaman bahawa UEM akan dapat kontrak PLUS dan beberapa kontrak lain?,” soalnya. – Roketkini.com