Berita

UMNO tidak ikhlas bela Islam, isu tudung buktinya

PETALING JAYA, 19 JAN – UMNO nampaknya memberikan respon berbeza-beza dalam isu diskriminasi terhadap wanita bertudung dalam kes SRJK(C) Nan Ya berbanding kes di KLCC September lalu.

Ahli Dewan Undangan Negeri Damnsara Utama, Yeo Bee Yin melahirkan rasa terpana dengan perbezaan jelas respon UMNO dalam kes diskriminasi di KLCC, di mana parti pemerintah itu langsung tidak bersuara.

“September lalu, status Facebook seorang wanita muslim bernama Mira Kamil tersebar luas apabila beliau berkongsi pengalamannya sebagai seorang wanita bertudung yang didiskriminasi di beberapa kedai terkemuka antarabangsa di KLCC,” ulas Bee Yin dalam satu kenyataan.

“Kisahnya itu kemudian disahkan oleh Harian Metro, dan dirakam dalam sebuah video YouTube, apabila salah seorang wartawan mereka menyamar untuk mencari kerja di kedai-kedai tersebut dan dinafikan atas alasan yang sama,” kata beliau.

Menurut Bee Yin, DAP berdiri teguh dengan prinsip bahawa seorang wanita Muslim tidak seharusnya didiskriminasi hanya kerana memakai tudung.

“Namun peliknya UMNO tidak bersuara langsung pada waktu itu,” ujarnya.

“Jika UMNO benar-benar pembela agama Islam, kenapa mereka berdiam diri apabila didepani syarikat antarabangsa bulan September lalu dan hanya berani buat bising apabila ia melibatkan rakyat biasa?” soal beliau.

“Kenapa ada dua standard dalam satu Malaysia?” katanya lagi sambil menyifatkan bahawa ini menunjukkan UMNO menggunakan sentimen kaum dan agama bagi memerah kepentingan politik dengan memberi kesan kepada keharmonian nasional.

Bee Yin yang juga Strategis Media Sosial DAP mengingatkan UMNO bahawa jurang antara kaum yang kian melebar di Malaysia tidak dapat diselesaikan dengan pendekatan menyerang tetapi harus melalui rasa hormat antara satu dengan yang lain serta dialog yang sihat. – Roketkini.com