Berita

Laporan #Kangkung BBC: TM dan SKMM saling menuding jari, Kerajaan digesa siasat

KUALA LUMPUR, 20 JANUARI: Strategis Media Sosial DAP, Yeo Bee Yin menggesa kerajaan menyiasat dengan telus berhubung sekatan akses laporan laman British Broadcasting Corporation (BBC) mengenai isu kangkung baru-baru ini.

Beliau berkata, ia bagi menunjukkan kerajaan benar-benar menghormati Rang Jaminan Koridor Raya Multimedia (MSC) yang menyatakan kerajaan tidak akan menapis kandungan internet bagi pengguna Malaysia.

“Memandangkan sebarang tapisan adalah melanggar komitmen kerajaan di bawah Rang Jaminan MSC untuk tidak menapis internet, Shabery patut menjelaskan dengan bukti sama ada adakah sekatan itu benar berlaku.

“Kenyataan Shabery meminta rakyat tidak buat spekulasi hanya menambahkan syak wasangka bahawa memang ada sekatan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau merujuk kenyataan Shabery yang meminta semua pihak menerima penjelasan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang menafikan menyekat laporan isu kangkung di laman BBC untuk beberapa jam, minggu lalu.

Manakala Telekom Malaysia (TM) pula dilaporkan berkata pihaknya hanya mengikut garis panduan, dan meminta hal itu dirujuk kepada SKMM.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Damansara Utama juga itu turut memetik pendapat pakar IT, yang menyatakan laporan BBC itu berkemungkinan besar memang benar disekat.

Katanya, pakar keselamatan internet, @sniifiit ‘99 peratus’ pasti, manakala NGO kebebasan internet, Sinar Project mencadangkan – terdapat tapisan di peringkat Pembekal Perkhidmatan Internet (ISP).

“Jika sekatan memang berlaku, Menteri Penerangan perlu mengenal pasti pihak mana yang melakukannya. SKMM dan TM nampaknya saling menuding jari.

“Kerajaan juga patu beri jaminan bertulis kepada ISP bahawa mereka tidak perlu menapis kandungan berkaitan politik walau pun menerima arahan ‘atas’, serta jaminan ia tidak akan menjejaskan perniagaan mereka,” katanya lagi. – Roketkini.com