Berita

DAP Sarawak tentang usaha lantik Taib Mahmud Yang di-Pertua Negeri

KUALA LUMPUR, 23 JANUARI: DAP Sarawak akan menentang sebarang usaha untuk melantik Tan Sri Abdul Taib Mahmud sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak selepas tidak lagi menjadi Ketua Menteri.

Memetik laman Malaysiakini, Pengerusi DAP Negeri, Chong Chieng Jen berkata, ini kerana Taib masih lagi di bawah siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atas tuduhan rasuah.

“Bagi DAP, calon Yang di-Pertua Negeri tidak sepatutnya seorang individu yang dicemari rekod rasuah atau jenayah dan bukan yang sedang disiasat SPRM.

“Pasukan khas yang dianggotai 10 pegawai ditubuh untuk menyiasat Taib selepas banyak laporan rasuah, salah guna kuasa dan konflik kepentingan ke atasnya,” katanya.

Justeru itu, Ahli Parlimen Bandar Kuching itu berkata, selagi penyiasatan belum selesai dan nama Taib belum dibersihkan, beliau kekal sebagai suspek dan tidak sepatutnya dilantik ketua negeri Sarawak.

Timbul spekulasi Taib akan dilantik ke jawatan itu selepas berundur daripada kerusi Ketua Menteri yang dipegangnya selama 33 tahun pada 28 Februari ini.

Sebelum ini, SPRM dilaporkan memanggil 20 individu dan meneliti 400 fail berhubung kes membabitkan Taib.

Malah, Chong sendiri pernah dikunjungi pegawai SPRM selepas mendedahkan dokumen senarai tanah milik Taib dan keluarga seluas 100,000 ekar bernilai RM1 bilion.

Turut didedahkan adalah syarikat yang berkaitan dengan Taib; Polar Red Sdn Bhd, Magna Wide Sdn Bhd, CMS Lands Sdn Bhd, Monarda Sdn Bhd, Radiant Lagoon Sdn Bhd, Miracle Harvest Sdn Bhd dan Worldsign Harvest Sdn Bhd.-Roketkini.com