Berita

PRK Kajang: DAP Selangor sokong penuh Anwar

PETALING JAYA, 29 JANUARI: DAP Selangor memberi sokongan penuh kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dipilih sebagai calon Pakatan Rakyat pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang, tidak lama lagi.

Pengerusinya, Tony Pua berkata, sokongan padu itu supaya PKR memperoleh kemenangan bergaya, seterusnya memperkukuhkan lagi kekuatan PR di Selangor.

Menurutnya, DAP Selangor juga amat berbesar hati untuk memberikan segala bantuan dan pertolongan.

“DAP Selangor tidak akan meninggal atau lebih teruk lagi mengkhianati ketika rakan kami (PKR) memerlukan sokongan dan bantuan.

“Jika kemasukan Anwar boleh memainkan peranan utama dalam membawa PR ke tahap lebih tinggi, maka Selangor akan menjadi model paling baik untuk dicontohi negeri lain.

“Dalam proses itu, pencapaian empat tahun selepas ini merupakan batu loncatan utama bagi PR untuk memenangi Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-14 nanti,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ahli Parlimen DAP Petaling Jaya Utara itu juga menyeru seluruh rakyat Selangor agar turut sama menyokong penuh PKR pada PRK DUN Kajang nanti.

“Sejak lima tahun lalu, PR Selangor membuktikan kebolehan dan kemampuan mentadbir negeri dengan cara yang telus serta bertanggungjawab.

“Kami juga menunjukkan perbezaan ketara berbanding ketika pentadbiran BN yang kejam, rasuah dan dicemari salah guna kuasa.

“Untuk mencapai visi perubahan Kerajaan Persekutuan, sebagai sebuah kerajaan yang bukan saja cekap, bertanggungjawab dan telus di samping mendengar serta bertindak demi kepentingan rakyat, kami menyeru rakyat Selangor memberi sokongan penuh kepada PR pada PRK itu nanti,” ujarnya. -Roketkini.com