Berita

Pimpinan MCA yang sepatutnya minta maaf kepada saya – Teresa Kok

KUALA LUMPUR, 11 FEBRUARI: Pimpinan MCA yang seharusnya memohon maaf kerana terus memutarbelitkan kandungan dan makna klip video satira ‘One-derful Malaysia’, kata Naib Presiden DAP Kebangsaan, Teresa Kok Suh Sim.

Beliau merujuk kenyataan Timbalan Presiden MCA, Datuk Wee Ka Siong yang memintanya memohon maaf berhubung klip video itu, kononnya tidak ingin masyarakat ‘menganggap budaya Cina adalah memaki hamun dan mempersenda orang lain ketika sambutan Tahun Baru Cina’.

Teresa berkata, beliau telah jelaskan sejak daripada mula bahawa video itu adalah satira politik dan kandungannya mengenai isu yang diperkatakan rakyat saban hari.

“Kandungannya bukan sahaja menunjukkan bagaimana rakyat memperolok ketidakcekapan dan kegagalan dasar kerajaan, ia juga mencerminkan sentimen mereka.

“Jika pimpinan MCA tidak boleh terima satira politik dalam sistem demokrasi mahu pun kegagalan dasar kerajaan diperolok, tiada sebab untuk mereka putar belit makna, tujuan serta kandungan video itu,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau juga mendesak Wee agar menunjukkan kandungan video itu yang didakwanya sebagai ‘memaki hamun orang lain’.

Antara pimpinan MCA lain yang turut menyerang Teresa adalah Ketua Wanita, Heng Seai Kie yang mendakwa video itu mencemarkan imej pemimpin negara serta Ahli Parlimen Alor Gajah, Koh Nai Kwong yang menuduhnya mempersenda insiden Lahad Datu dan pihak keselamatan negara.

Ahli Parlimen Seputeh itu turut membidas pimpinan MCA yang menyerangnya, pada masa sama mengambil ringan ancaman kecederaan yang dibuat sekumpulan NGO pro-Umno yang menggelar diri mereka sebagai Majlis Jemaah NGO Islam Malaysia terhadapnya.

Minggu lalu, NGO itu berhimpun berhampiran Jalan Tun Perak di sini, dan menyembelih beberapa ekor ayam dan melumurkan darahnya kepada kain pemidang yang tertera gambar pimpinan DAP, selain menawarkan RM1,2000 kepada sesiapa yang menampar Teresa dan merakamnya.

“Daripada mengecam ancaman itu, Heng Seai Kie hanya berkata beliau membantahnya, malah bertanya kenapa ayam yang dijadikan korban apabila saya yang melakukan kesalahan. Wee Ka Siong pula merewang bagaimana video itu menjejas sambutan Tahun Baru Cina.

“Pimpinan MCA sepatutnya rasa malu terhadap diri sendiri. Mereka yang sepatutnya memohon maaf kepada saya kerana memutar belit makna, tujuan dan kandungan video itu,” katanya lagi. -Roketkini.com