Berita

Skandal 1MDB: DAP gesa kerajaan perjelas peningkatan RM2.4 bilion pembiayaan penempatan semula unit pertahanan

KUALA LUMPUR, 19 FEBRUARI: Ahli Parlimen DAP Petaling Jaya Utara, Tony Pua menggesa kerajaan memberi penjelasan berhubung peningkatan besar pembiayaan penempatan semula unit pertahanan di Sungai Besi.

Beliau berkata demikian merujuk laporan akhbar hari ini bahawa 1Malaysia Development Bhd (1MDB) yang merancang menjual RM2.4 bilion bon Islam agar dapat membiayai penempatan semula unit pertahanan itu daripada tapak asal projek Bandar Malaysia.

Menurutnya, perjanjian ‘kekasih’ kepada 1MDB itu merangkumi persetujuan kerajaan membiayai kos keseluruhan penempatan semula unit pertahanan sedia ada ke kawasan lain di seluruh negara yang bernilai RM2.7 bilion.

“Jadi, sebagai sebahagian daripada perjanjian itu, kerajaan bersetuju membayar RM1.1 bilion kepada 1MDB. Jumlah ini diluluskan dalam Bajet 2012 dan RM800 juta dikeluarkan kepada 1MDB berdasarkan dokumen bajet terkini 2014,” katanya dalam kenyataan.

Bagaimanapun, Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan itu menegaskan apa yang lebih menarik adalah hakikat 1MDB diberikan kontrak RM2.1 bilion pada April 2013 kepada Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) untuk menyediakan lapan penempatan semula berbeza di seluruh negara.

“Berdasarkan matematik mudah, 1MDB menaikkan RM2.4 bilion di dalam sukuk bagi projek penempatan semula walaupun ia hanya memerlukan tambahan RM1 bilion iaitu RM2.1 bilion, kurang RM1.1 bilion daripada jumlah yang dibiayai kerajaan,” ujarnya.

Jelasnya, terbukti 1MDB mendapat keuntungan berlipat ganda daripada pelaksanaan penempatan semula itu dengan mengenakan RM2.7 bilion atau RM600 juta daripada kos sebenar.

“1MDB perlu menyediakan akauntabiliti penuh bagi RM1.1 bilion yang diperuntukkan kerajaan bagi projek itu dan membuktikan tidak ada sebarang salah guna dana untuk tujuan lain.

“Peningkatan begitu besar sebanyak RM2.4 bilion juga perlu diperjelaskan. Mengapa begitu besar? Sedangkan mereka hanya memerlukan tambahan RM1 bilion.

“Kami juga sedia maklum bahawa 1MDB sedang bergelut dengan masalah hutang jangka pendek dan jangka panjang yang dianggarkan melebihi RM30 bilion,” tegasnya.

Beliau turut mendesak pentadbiran Najib memberi jawapan berhubung skandal perjanjian ‘kekasih’ antara kerajaan dan 1MDB.

“Apakah kerajaan ketika ini begitu terdesak untuk menyelamatkan 1MDB?

“Apa yang lebih membimbangkan ialah 1MDB jelas cuba mengumpul hutang untuk membiayai komitmen hutang sedia ada dan ia kemudiannya akan mengakibatkan rakyat Malaysia terpaksa membayar cukai lebih tinggi pada masa depan,” katanya. -Roketkini.com