Rencana

Mengapa Anwar diseksa begitu rupa? Oleh Wan Hamidi Hamid

APABILA ‘Langkah Kajang’ diumumkan sebagai penjelasan mengapa Anwar Ibrahim perlu bertanding dalam pilihanraya kecil Kajang, ada yang menyokong dan ada yang membantah, dan ada pula yang keliru.

Seperti mana yang dijelaskan oleh Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli, langkah itu merupakan usaha mempertahankan Selangor daripada komplot UMNO merampas kuasa, dan seterusnya menjadi platform Pakatan Rakyat menuju ke Putrajaya.

Banyak suara sumbang kedengaran di kalangan Pakatan Rakyat, khususnya dari PKR sendiri, yang tak puas hati, marah dan geram dengan keputusan Anwar.

Semua tahu ia bermula dengan sesuatu yang tak kena dengan Menteri Besar Selangor Khalid Ibrahim dan saingan politiknya Pengerusi PKR Selangor Azmin Ali merangkap orang nombor dua parti itu.

Lee Chin Cheh meletak jawatan sebagai Adun Kajang pada 27 Januari. Pada 5 Februari, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 23 Mac sebagai hari mengundi.

Sewaktu kalangan Pakatan masih berbalah tentang Langkah Kajang, tiba-tiba Mahkamah pada 28 Februari menetapkan 6 dan 7 Mac untuk mendengar rayuan terhadap pembebasan Anwar dalam kes Liwat II.

Semalam, pada 7 Mac, Mahkamah Rayuan mendapati Anwar bersalah. Dengan itu, Anwar yang sudah bebas daripada tuduhan pada 9 Januari 2012 oleh Mahkamah Tinggi kini dianggap bersalah pula atas tuduhan tersebut. Semalam juga, Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 5 tahun terhadap Anwar.

Sepatutnya Selasa ini, 11 Mac, Anwar akan mengemukakan borang
pencalonan PRK Kajang. Kini keputusan Mahkamah menghalang Anwar daripada bertanding.

Jadi Anwar tak boleh bertanding dan tak boleh menang, dan tentunya tak boleh menjadi Menteri Besar Selangor; dan pastinya menyukarkan jalan ke arah Putrajaya.

Inikah yang dimahukan oleh segelintir dari kalangan Pakatan Rakyat?

Ketika kalangan Pakatan sedang berbalah dahulu, pimpinan Barisan Nasioanl amat bimbang dengan Langkah Kajang. Sewaktu kalangan Pakatan beradu-domba, pimpinan BN mula mengorak langkah.

Ini bererti BN benar-benar takut dengan Langkah Kajang. Mereka bimbang kemungkinan Anwar akan mengorak langkah menuju Putrajaya. Kerana ia bererti berakhirnya era BN.

Kerana itu Anwar perlu dikorbankan demi mempertahankan kuasa UMNO-BN. Kerana itu Anwar berterusan menjadi mangsa konspirasi BN yang menyeksa kehidupan politik dan keluarga beliau.

Sayangnya masih ada segelintir kalangan Pakatan yang tak nampak, tak sedar dan mungkin tak peduli semua ini. Mungkin hati mereka berada di tempat lain. – Roketkini.com