Berita

‘Apa Joseph Kurup maksudkan, selain undi ikut kaum?’ – Kian Ming

KUALA LUMPUR, 18 MAC: Ahli Parlimen DAP Serdang, Dr Ong Kian Ming menolak penafian Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Joseph Kurup yang menggesa pengundi Cina di Kajang mengundi calon BN, Chew Mei Fun, hanya atas sebab kaum.

Beliau mengulas kenyataan Kurup yang menafikan menggunakan perkataan ‘kaum’ dalam ucapannya di Sungai Chua, Kajang, 16 Mac lalu.

“Apa yang dimaksudkan Kurup, apabila meminta pengundi Cina mengundi Chew kerana beliau adalah ‘orang mereka sendiri’?” soalnya dalam kenyataan hari ini.

“Adakah beliau minta pengundi di Sungai Chua undi Chew kerana beliau dari Kajang? Ia mustahil kerana beliau lahir di Pulau Pinang dan jadi Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara sebelum ini.

“Mungkin juga Kurup bermaksud minta pengundi pilih Chew kerana beliau orang Hakka, sama seperti majoriti pengundi di Sungai Chua? Ia juga mustahil kerana Chew adalah orang Hainan,” katanya lagi.

Justeru, katanya lagi, satu-satunya penjelasan yang ada adalah Kurup meminta pengundi Cina memilih Chew atas sebab perkauman – hanya kerana beliau berbangsa Cina.

Kenyataan Ahli Parlimen Pensiangan itu menerima kecaman hebat, apatah lagi beliau adalah menteri yang bertanggungjawab dalam soal perpaduan nasional.

Di Dewan Rakyat semalam, Ahli Parlimen Ipoh Barat, M Kulasegaran meminta Kurup bangun dan memberi penjelasan, namun ditolak.

Sehubungan itu, Kian Ming mendesak Kurup berhenti menafikan kenyataan itu, sebaliknya memohon maaf atas kenyataan yang jelas berunsur perkauman.

Beliau juga membandingkan gaya kempen BN itu dengan Pakatan Rakyat, yang konsisten membawa mesej keadilan, ketelusan dan kehidupan yang lebih baik kepada seluruh rakyat Malaysia.

“Sebagai Pegawai Perhubungan DAP untuk PRK ini, saya lihat PAS, PKR dan DAP berikan mesej konsisten pada ceramah di setiap kawasan. Dan ia adalah untuk tegakkan keadilan, ketelusan dan kehidupan yang lebih baik kepada seluruh rakyat Malaysia, tanpa mengira latar belakang, agama dan kaum,” katanya lagi. -Roketkini.com