Budaya, Sastera

Fenomena bernama Muzik – Oleh Muhammad Nazreen

MUZIK memang boleh orang bikin gaduh. Kadang-kadang muzik juga menyebabkan kita terperangkap dengan beban moral dan agama. Jarang kita akui bahawa muzik adalah satu-satunya bahasa yang ‘paling universal’. Muzik hanya memerlukan kita untuk meminjamkan telinga. Kita tak perlukan agama, kaum, kelas atau warna kulit untuk menilai unsur muzik yang baik. Kadangkala, muzik juga yang menyatukan kita di sebalik perbezaan agama dan politik.

Untuk meminati Search and Wings, kita tak perlu menjadi UMNO atau Islam, berkopiah atau berambut panjang. Kita hanya perlukan telinga dan konsenstrasi. Muzik tak pernah hipokrit. Kalau ia bagus, ia akan didatangi peminat dan kalau ia tak bagus, siapa mahu dengar!

Kegilaan mengenai muzik kini datang lagi. Peristiwa mengaitkan muzik dan budaya hedonisme; misalnya selepas peristiwa kematian 6 orang remaja baru-baru ini di konsert ‘Future Music Festival Asia’ akibat penyalahgunaan dadah – ramai yang menyalahkan remaja menjadi rosak akibat muzik.

Tuduhan sebegini juga tidak asing, terutamanya di Malaysia – ini bukanlah kali pertama ‘muzik’ dianggap barah yang memusnahkan identiti anak muda. Tuduhan begini mengingatkan kita pada suatu masa dahulu – muzik ‘rock’ sering dikaitkan dengan budaya kuning. Muzik keras rock hampir diharamkan. Rambut panjang dianggap musuh kepada budaya. Bagi yang membesar dalam era 80an, mereka pasti akan ingat detik Amy Search, Awie dan beberapa rockers yang lain dipaksa untuk memotong rambut. Malah, dalam siaran RTM secara langsung, rockers ini dimalukan sedemikian rupa.

Muzik dan Identiti

Muzik sebenarnya adalah refleksi kejujuran dan kegilaan. Unsur dalam muzik boleh membentuk paradigma politik dan kebudayaannya sendiri. Manusia yang waras pasti akan mendekati irama muzik. Secara tidak langsung, kita pun akui bahawa muzik adalah pantulan kemanusiaan dan identiti kita sebagai manusia.

Muzik juga menggambarkan ekpresi mengenai kehidupan seseorang. Ada di antara kita yang terikut-ikut untuk menjadi pak Arab. Justeru, langkah pintas untuk menjadi pak Arab hanya ada dua: muzik dan makanan. Bagi sesebuah masyarakat yang akar budayanya sendiri tidak dihargai dengan baik, kita akan sering terikut-ikut dengan trend semasa. Kebudayaan itu hanya dapat dinilai menerusi budaya, filem, bahasa, fesyen dan muzik.

Muzik apa yang kita dengar sekarang sebenarnya menggambarkan status kebudayaan kita hari ini. Pendengar yang meminati Justin Bieber sudah cukup dijadikan bukti bahawa dunia hiburan hari ini semakin senget! Ini semua gara-gara konsumerisme dan ketamakan industri untuk mengejar untung.

Masuknya gelombang Islamisasi (atau lebih tepat: Arabisasi) suatu ketika turut dibayangi dengan kemunculan irama nasyid. Pasti kita ingat kumpulan Al-Jawaher lewat 80an yang begitu popular. Selalunya muzik datang dalam satu pakej yang lengkap. Misalnya, kumpulan nasyid tidak datang hanya dengan lagu nasyid; tetapi dengan fesyen dan imej berpakaian. Ada suatu ketika – semua kumpulan nasyid hadir dalam ‘template’ yang sama. Semuanya berkopiah dan berbaju Melayu.

Kadang-kadang ia membuatkan kita terfikir, apakah nasyid tidak akan jadi nasyid jika kita tidak berbaju Melayu dan berkopiah ala Raihan?

Tetapi, itulah kenyataannya. Selalunya muzik hanya substruktur dalam gelombang kebudayaan yang lebih besar, meliputi fesyen, filem, sastera dan sebagainya. Sama macam golongan rockers, berambut panjang itu sebahagian daripada identiti seorang rockers. Berambut panjang tidak akan mengubah kepercayaan agama kita. Ia hanya kekal sebagai suatu bentuk pakej identiti yang datang sekali.

Muzik melawan Establishment

Muzik juga datang dalam ‘form’ untuk melawan establishment. Kemunculan gerakan politik hippies di Amerika dekad 60an merupakan pemberontakan secara sedar untuk melawan kegilaan McCarthyism. McCarthyism merupakan doktrin yang disebar ketika pemerintahan bekas Presiden Amerika, Joe McCarthy di kemuncak perang dingin. Sesiapa sahaja yang meminati wacana kiri sosialisme di Amerika, mereka akan ditangkap dan dipenjarakan. Ideologi menjadi ancaman besar kepada kerajaan Amerika. Perkumpulan hippies ini merupakan gerakan protes untuk menolak kegilaan kerajaan Amerika.

Di kemuncak perang Vietnam, sekumpulan aktivis yang menggelarkan diri mereka sebagai Student of Democratic Society (SDS) menggunakan muzik sebagai elemen propaganda untuk menyampaikan mesej politik mereka melawan dasar yang dibawa Presiden Lyndon B Johnson. Usaha mereka berhasil apabila segolongan aktivis-pemuzik seperti Bob Dylan, John Lennon bersama-sama mereka untuk memperjuangkan agenda pasifisme (anti-perang).

Kewujudan golongan pemuzik ini kemudian menjadi perintis kepada festival Woodstock yang mengumpulkan pelbagai artis daripada pelbagai genre membawa mesej yang sama. Festival Woodstock 1969 juga membawa catitan sejarah baru. Artis berkulit hitam seperti Jimi Hendrix dan artis bukan Inggeris seperti Carlos Santana berkongsi pentas yang sama. Ini menandakan detik rasisme di Amerika Syarikat hampir berakhir.

Muzik ‘anti-establishment’ ini selalunya dikaitkan dengan kemunculan muzik Punk di Britain. Nama-nama seperti The Clash, Elvis Costello, The Stranglers, Blondie dan Sex Pistol (muncul sedikit lewat) menguasai dunia muzik barat lewat 1970an.

Punk merupakan gerakan muzik yang disongsangkan secara sengaja. Lirik ditulis tunggang terbalik, muzik pula tak menurut ‘arrangement’ muzik yang biasa. Hal ini dilakukan secara sengaja untuk melawan Establishment dan mekanisme manusia robotik yang patuh akan kerajaan yang zalim.

Bagi peminat punk yang ‘true’ – mereka pasti akan mengenali Joe Strummer (The Clash) dengan album fenomenal, London Calling (1979) sebagai biasan kepada tragedi Brixton Riots yang berlaku dua kali. Pertama ketika terjadinya demonstrasi Liga Anti Nazi (Anti Nazi League) sebagai protes kepada gerakan fasis Skinhead. Kali kedua terjadi berikutan protes terhadap dasar ‘poll-tax’ yang diperkenalkan Margaret Thatcher yang sinonim dengan kebangkitan neo-liberalisme.

Muzik sebagai agenda politik

Muzik adalah alat propaganda paling berkesan dalam perang politik. Setiap parti politik pasti punya ‘anthem’-nya yang tersendiri. Samada PAS atau UMNO, lagu rasmi parti mereka sebenarnya menggambarkan jalur politik yang mereka bawa.
Kejayaan Revolusi Islam Iran 1979 sebenarnya sangat terhutang budi dengan muzik. Setiap kali demonstrasi diadakan Medan Azadi, anak-anak muda pasti melaungkan lagu tema seperti Amadi Khoosh Jadidad, Irane Parsee dan Iran-Iran. Slogan yang dilapisi irama marah ini lebih mudah sampai ke telinga demonstran. Muzik yang pendek sudah cukup untuk menaikkan amarah untuk menentang Shah Pahlevi. Ceramah di hauzah dan masjid sahaja tidak cukup untuk menterjemah gerakan politik di atas jalanraya.

Muzik adalah agenda politik yang berkesan. Semasa gerakan pembebasan Nelson Mandela berada pada tahap kemuncaknya, konsert digunakan sebagai medium untuk menyalurkan protes. Vaclav Havel, pejuang yang berjaya membebaskan Chechslovakia daripada tirani komunisme Soviet tampil dengan idea ‘konsert untuk kebebasan’. Konsert yang digelar ‘Plastic People For The Universe’ menampilkan gerakan pemuzik underground sekitar Prague untuk menyebarkan fahaman non-konformis terhadap penindasan Soviet. Konsert yang dijalankan daripada 1968-1989 ini berjaya menggugat dan menyebabkan ramai aktivis ditahan.

Sekumpulan selebriti termasuklah David Gilmour, Bob Geldof, Roger Waters dan Bono U2 menggunakan muzik sebagai alat untuk melobi supaya sidang negara G8 di Scotland tahun 2005 dipulaukan. Dalam konsert yang digelar ‘Live 8’ itu, mereka menggunakan saluran muzik untuk menyebarkan agenda melawan dominasi negara beratasnamakan globalisasi. Konsert ini disiarkan secara langsung daripada beberapa kota besar seperti Berlin, Rio De Janeiro, London dan menyaksikan hampir 20 juta orang turut bersama-sama menggerakkan solidariti.

Kekuatan muzik sebenarnya terletak pada mesej kemanusiaan. Seperti yang diperkatakan di awal tulisan ini, muzik adalah satu-satunya forum yang melangkaui batas kita sebagai manusia. Seorang makcik tua di Kuala Besut mungkin lebih meminati Justin Bieber dan seorang kosmopolit moden di kota New York barangkali lebih tergoda untuk meminati muzik caklempong dan muzik joget. Mana tahu kan!

Justeru, tuduhan untuk menyalahkan sebahagian muzik sebagai tidak menepati norma masyarakat ternyata menyeleweng. Kes penyalahgunaan dadah adalah kesilapan dan pilihan individu. Tak wajar muzik disalahkan kerana silap mereka dua tiga kerat. Muzik harus dilepaskan daripada rantai moral dan agama. Cukuplah kita sekadar diam sekejap, lupakan hal kusut di kepala untuk mendengar muzik yang baik dan bermutu! – Roketkini.com