Berita

Sistem PBS dipinda, DAP desak kerajaan BN tarik balik hukuman ke atas guru

KUALA LUMPUR, 20 MAC: Keputusan Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin meminda sistem Penilaian Berasaskan Sekolah (PBS) membuktikan kritikan sebilangan guru terhadap sistem itu benar.

Justeru, kerajaan perlu menarik semula hukuman ke atas guru-guru itu, termasuk Pengerusi Suara Guru Masyarakat Malaysia (SGMM) , Mohd Nor Izzat Johari kerana membantah sistem itu, kata Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari.

Ekoran kritikan terhadap PBS, Nor Izzat diarahkan berpindah ke sekolah pedalaman di Pahang, 80 kilometer daripada rumahnya.

“Keputusan ‘flip-flop’ terbaru Muhyiddin untuk mansuhkan aspek utama PBS jelas menyangkal tuduhan ke atas Nor Izzat dan guru-guru lain.

“Maka, sepatutnyalah arahan pemindahan ke atas mereka dibatalkan segera, dan semua guru yang jadi mangsa dikembalikan ke sekolah asal mereka,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada 22 Februari 2014, SGMM mengadakan protes di Putrajaya ke atas pelaksanaan PBS yang hanya menambahkan beban kerja guru.

Sistem itu memaksa guru memasukkan sendiri maklumat pelajar dalam pengkalan data atas talian setiap hari. Kelemahan sistem itu menyebabkan mereka terpaksa berjaga sehingga lewat malam untuk berbuat demikian.

Tekanan yang diterima menyebabkan Muhyiddin akur untuk menangguhkan pelaksanaan sistem itu. Sistem yang didakwa sudah dipinda bakal dilaksanakan 1 April ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, kegagalan membatalkan hukuman, walaupun guru-guru itu terbukti tidak bersalah menandakan Kementerian Pendidikan menghukum mereka hanya kerana bangkit membela profesion perguruan.

“Jika kerajaan serius dalam usaha tingkatkan kualiti guru dan menarik mereka yang pintar dan berdedikasi ke profesion ini, pemangsaan terhadap guru perlulah dihentikan serta-merta,” kata Penolong Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP itu lagi. – Roketkini.com