Rencana

Gobok Lama – Kucing Bertanduk

Perkataan ini biasanya hanya digunakan oleh orang Johor, termasuk yang berketurunan Cina atau India, dan biasanya oleh ‘orang lama’. Ia dipakai dalam pengucapan harian, maka tiada apa yang istimewa dalam hal ini.

Perkataan ini jarang sekali kita dengar dari mulut penduduk negeri lain – jika ada yang lain pun mungkin Melaka, kerana ia berjiran dengan Johor dan kerana hubungan sosial yang erat.

Asal perkataannya ‘gerobok’, tetapi rata-rata orang menyebutnya menjadi ‘gobok’, kerana kecepatan lidah menyebut – macam kereta jadi ‘keta’, Muar jadi ‘Muo’. Begitulah lidah Melayu yang makan suka berlawankan cili dan belacan.

Gobok adalah almari dan ia merujuk kepada almari lama. Jarang gobok merujuk kepada almari moden atau rak buku berjenama Cavenzi atau Lorenzo.

Maka gobok akan digambarkan dengan kelusuhan warna kayunya, keunikan rekabentuknya yang antik (tak semestinya berkerawang) dengan cermin kaca dan dihiasi barang-barang kenangan lama sebagai hiasan di rumah.

Gobok juga selalu dirujuk sebagai almari baju lama. Diletak dalam bilik tidur. Jenis ini biasanya tiada perhiasan, hanya timbunan lipatan kain, cadar dan gebar.

Barangan antik

Zaman dulu, tetamu yang datang berziarah di rumah akan melirik mata melihat apa yang ada dalam gobok. Umumnya, si pemilik meletakan pinggan-pinggan kaca, gelas, serta cawan yang dikutip dan disimpan sejak sekian lama.

Namun, gobok bukan tempat mempamerkan sebarangan barangan kaca. Biasanya ia diisi dengan barangan kaca cenderahati yang didapati dari sesuatu tempat, yang boleh dikatakan rare dan tidak mudah lagi didapati masa kini.

Tok nenek “kawan” (ganti nama “saya” bagi orang Johor) menjadikan gobok sebagai tempat meletak koleksi gelas-gelas kaca yang dibeli semasa menyambut perayaan-perayaan tertentu, termasuk perayaan hari kemerdekaan negara. Gelas kaca tertera bendera Malaya dan slogan-slogan sambutan Merdeka.

Koleksi ini meliputi segenap zaman, dari zaman pra-merdeka hinggalah selepas merdeka. Semua barangan ini mempunyai cerita – tempat dibeli, masa dibeli dan dengan siapa ia dibeli.

Di sebalik setiap koleksi tersimpan kisah panjang. Sayang, gelas-gelas kaca ini kebanyakan telah berderai kerana anak-cucu tak tahu menjaganya

Begitu juga dengan nenek kawan, setiap kali pergi ke mesyuarat kaum ibu (zaman pra merdeka) pasti kepulangannya akan membawa buah tangan berupa set pinggan mangkuk atau set teh/kopi.

Kawan masih ingat sedozen pinggan putih buatan negara China berhiasan bunga melor di bibirnya, dibeli nenek sewaktu menghadiri ‘rapat umum’ kaum ibu. Zaman itu Dato’ Onn sedang giat berkempen bersama UMNO.

Beliau menceritakan betapa bersemangatnya kaum ibu ketika itu berkempen bersama rakyat untuk menentang Malayan Union. Ketika pulang bergerombolan, mereka sempat singgah di pasar untuk mencari barangan sebagai kenangan. “Dasar perempuan, ke mana perginya pasti tak lupa mahu membeli-belah … berjuang sangatlah dia,” begitulah Atok menyindir isterinya.

Barang lama jangan terus dibuang

Di usia senjanya, nenek sempat menceritakan kepada cucu-cicitnya tentang bagaimana payahnya membawa pinggan-pinggan ini sewaktu menaiki bas berhenti-henti. Kami berderai ketawa apabila nenek bercerita dengan gaya yang dibuat-buat. Bimbang pinggan kaca itu pecah, maka dipeluknya erat-erat hingga tak peduli selendang terbang ditiup angin.

Kini, melihat kembali gobok tersebut, jelas bahawa ia menjadi salah satu tempat menyimpan kenangan lama untuk diabadikan buat generasi hadapan.

Kita bermula dengan sejarah, dan sejarah yang terbaik adalah sejarah yang kita sendiri cipta dan kita sendiri yang merakamnya, bukan sekadar menjadi penonton. Begitulah luahan ayat nenek yang saya susunkan kembali. Mungkin yang nenek kawan maksudkan – jadilah agen perubahan.

Nenek juga pernah mengingatkan kawan, “barang lama jangan terus dibuang.”