Rencana

RBA: Dongeng bertambah bengong – BELEK

belekSewaktu membelek-belek berita di ambang berlangsungnya PRU13 tahun lepas, itulah pertama kali saya mendengar dongeng tentang satu tentera siber yang kononnya digelar Red Bean Army (RBA). Terfikir juga masa tu, kalaulah nak tubuh satu kumpulan subversif, tentulah kita pilih nama yang cool, bukan “kacang merah”. Ini mesti satu cubaan melawak.

Red Bean Army ni kononnya pasukan tentera siber yang bergerak di alam-alam siber memburuk-burukkan kerajaan.

Kalau diteliti ciri-ciri Red Bean Army yang digebangkan itu, tak ubah sebenarnya macam ciri-ciri Unit Media Baru dan cybertrooper UMNO/BN. Seolah-olah diambil kisah cybertrooper mereka dan ditukar namanya kepada Red Bean Army. Serangan ke atas Pakatan Rakyat diubah kepada serangan ke atas Kerajaan BN.

Nah, terhidang satu dongeng baru buat bahan pemenuh Utusan Malaysia yang dah kekontangan isu! Dengan harapan juga agaknya dapat alihkan perhatian semua daripada cybertrooper UMNO/BN yang selama ini dipandang jelek pengguna media sosial.

Tapi dongeng kalau terus didongengkan, kebarangkaliannya tinggi lama-lama boleh jadi bengong. Semakin mengarut dan tak masuk akal.

Baru-baru ini Utusan gebang pula kononnya tentera siber (RBA), yang menurut New Straits Times dibayar gaji antara RM3,000 dan RM8,000, adalah terdiri daripada pegawai bank, pemandu teksi, peniaga kedai runcit/makanan, doktor perubatan, pensyarah kolej swasta dan mekanik.

Kalau sudah dibayar begitu lumayan, mengapa perlu mencurah keringat bersusah payah mencari rezeki sebagai pemandu teksi atau mekanik?

Adakah kerana abang-abang teksi rata-ratanya kritis terhadap kerajaan maka mereka pun perlu dimasukkan satu bakul dengan Red Bean Army? Apakah ia satu bentuk amaran halus kepada abang-abang teksi yang kritis dan cakna terhadap masalah melanda negara?

Di saat kerja seperti memandu teksi, mekanik, doktor, pegawai bank yang diketahui begitu sibuk berusaha berkhidmat untuk rakyat dan mencari sesuap nasi. Berapa banyakkah masa yang mereka boleh luangkan untuk melakukan kerja propaganda di laman media sosial dengan efektif seperti cybertrooper UMNO/BN?

Apabila dongeng semakin bengong, maka tidak mustahil suatu hari nanti seluruh 51% pengundi yang menolak UMNO/BN dalam PRU13 akan dituduh sebagai Red Bean Army yang jahat.