Rencana

Pandangan ‘orang luar’ terhadap Hudud Kelantan – el_manhaji

 

Drama hudud timbul lagi, dan seperti biasa, pelakon utamanya adalah kerajaan Negeri Kelantan melalui barisan exconya dan diketuai Dato’ Ahmad Yaakob selaku Menteri Besar. Cuma bezanya kali ini, drama ini turut menampilkan beberapa figur politik UMNO yang memegang watak ‘protagonis’, seperti Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dato’ Seri Jamil Khir Baharom yang memberi jaminan akan kesediaan kerajaan persekutuan untuk meluluskan rang undang-undang tersebut sekiranya ia dibentang di parlimen. Sama ada mereka ikhlas atau sekadar wayang murahan, terpulang pada penilaian masing-masing.

Dalam membicarakan pelaksanaan undang-undang hudud dalam negara, kita perlu membicarakannya dari dua aspek; pertama dari segi teknikal, merangkumi prosedur perlembagaan, pindaan dan penggubalan akta-akta berkaitan dan sebagainya. Manakala aspek kedua ialah isi kandungan undang-undang itu sendiri; kesesuaian mengikut konteks semasa dan apakah ia benar-benar mampu menterjemahkan prinsip-prinsip ‘Maqasid Syariah’ (tujuan tertinggi syariat Islam) yang menekankan aspek keadilan dan kesejahteraan.

Hudud dan Sistem Undang-Undang Negara

Antara isu yang dibangkitkan ialah konflik perundangan yang mungkin akan timbul, melibatkan Perkara 7 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahawa seseorang itu tidak boleh dibicarakan lebih daripada sekali atas kesalahan yang sama. Situasi ini tidak mustahil berlaku jika undang-undang hudud berjaya dilaksanakan memandangkan negara ini sudah mempunyai Akta Kanun Keseksaaan yang memperincikan soal jenayah. Jika hudud dilaksanakan di Kelantan, maka jika seorang pencuri telah dibicarakan di bawah Kanun Keseksaan, beliau juga masih tertakluk kepada Enakmen Jenayah Syariah Kelantan yang turut memperuntukkan hukuman untuk kesalahan mencuri.

Selain itu, pelaksanaan undang-undang ini juga akan menimbulkan situasi ‘double standard’ dan ketidaksetaraan rakyat, memandangkan pimpinan PAS berulangkali menegaskan bahawa hudud hanya terpakai untuk orang Islam sahaja. Sekali lagi, timbul konflik dengan Perlembagaan Persekutuan yang dengan jelas menyatakan dalam Perkara 8(1): “Semua orang adalah sama rata di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan yang sama rata disisi undang-undang” dan (2) “..tidak boleh ada diskriminasi terhadap warganegara semata-mata atas alasan agama…”

Jelasnya, pelaksanaan undang-undang hudud akan membawa kepada hukuman berbeza-beza berdasarkan pegangan agama sedangkan dalam konteks kehidupan bernegara, setiap rakyat sepatutnya tertakluk kepada undang-undang yang sama dan selaras.

Manakala dari segi isi kandungan pula, Prof Muhammad Hashim Kamali, seorang  pakar dalam bidang undang-undang Islam kelahiran Afghanistan, telah menulis buku Punishment in Islamic Law – An Enquiry Into The Hudud Bill of Kelantan dengan mengemukakan kritikan dan penambahbaikan terhadap rang undang-undang tersebut. Beliau telah mengenengahkan beberapa persoalan dan pandangan alternatif terhadap beberapa isu yang menjadi pertikaian seperti pembuktian had zina (hukuman untuk hubungan seks luar nikah), kekeliruan mengenai kesalahan rogol dan zina, persoalan tentang sama ada murtad dihukum bunuh atau tidak, dan keabsahan hukuman rejam terhadap  penzina yang telah berkahwin.

Murtad: Dihukum Atau Tidak?

Antara perkara berbangkit dalam soal pelaksanaan hudud ialah hukuman ke atas Muslim yang bertukar agama. Pandangan yang paling popular di kalangan masyarakat, malah di kalangan pelajar jurusan agama sekalipun, hukuman bagi orang yang murtad dari agama Islam ialah bunuh. Namun, sebenarnya di sana terdapat perbincangan yang panjang dan perincian yang lebih jelas mengenai hukuman murtad ini. Prof Hashim Kamali sendiri, dalam buku yang sama, telah membezakan antara murtad (apostacy) dengan ‘blasphemy’ iaitu serangan dan penyinggungan terhadap sensitiviti penganut Islam.

Dr Taha Jabir Al-Alwani telah menulis sebuah buku khusus untuk membicarakan permasalahan ini, berjudul Laa Ikraaha Fiddin (edisi Melayu, Tiada Paksaan Dalam Agama, diterbitkan oleh Institut Kajian Dasar). Beliau menyebut bahawa dalam Al-Quran terdapat 12 ayat yang membicarakan riddah (keluar agama) tanpa memperuntukkan hukuman duniawi ke atas pelaku murtad. Menurut beliau, ini menimbulkan kemusykilan yang munasabah, iaitu mengapa hukuman hudud yang lain disebut secara khusus dalam Quran, tapi tidak dalam kes murtad? Beliau turut menambah bahawa hampir 200 ayat Quran telah menegaskan  jaminan kebebasan beriman daripada Allah s.w.t sendiri, selain menjadikan hukuman terhadap golongan yang kafir dan murtad sebagai hak mutlak Allah s.w.t di akhirat kelak. Bahkan apabila ditelusuri sirah Rasulullah s.a.w, telah berlaku beberapa kejadian murtad di zaman Baginda tanpa dihukum para Muslim yang keluar agama itu.

Selain itu, pandangan yang menyatakan murtad tanpa disertai tindakan pemberontakan terhadap negara dan komuniti tidak perlu dibunuh turut disokong oleh ramai cendekiawan Muslim kontemporari seperti Dr Tariq Ramadan, pemikir Muslim Eropah yang juga cucu kepada al-Syahid Hassan al-Banna; Rashid Ghannouchi, pemimpin Parti An-Nahdhah di Tunisia; Almarhum Syeikh Mahmud Syaltut, mantan Syeikhul Azhar; dan Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Presiden PAS. Jauh sebelum mereka, beberapa ulama salaf (ulama generasi awal) menyatakan tidak wajib menerapkan hukuman bunuh ke atas murtad, antaranya Saidina Umar al-Khattab, Sufyan al-Tsauri dan Ibrahim an-Nakha’ie. Berdasarkan sekian banyak ulama yang berpandangan demikian, maka pandangan bahawa hukuman bunuh terhadap orang murtad secara mutlak adalah ijmak (konsensus atau sepakat), tertolak dan boleh dianggap tidak tepat.

Masih banyak lagi sebenarnya isu-isu dan percanggahan yang meliputi rang undang-undang ini. Penulis cuma menyebut sebahagian daripadanya sahaja sekadar untuk menyatakan bahawa hudud ini, meski didakwa sebagai hukum Tuhan, penggubalannya tetap daripada hasil tangan manusia dan tidak terlepas daripada sebarang kesalahan, kritikan, cadangan dan penambahbaikan.

Saya secara peribadi tiada masalah dengan undang-undang hudud ini, kerana jika rakyat Kelantan sudah bersepakat untuk melaksanakannya, kita tidak berhak untuk menghalang. Apapun, kita tunggu saja perkembangan seterusnya.

*el_manhaji adalah nama pena seorang penuntut dalam bidang Fiqh dan Fatwa, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Tulisan ini memuatkan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Roketkini dan DAP.