Rencana

‘Serampang hudud’ senjata UMNO – Izmil Amri

ANALISA BERITA

Kali terakhir kita mendengar tentang polemik hudud ialah sewaktu Pilihanraya Umum ke-13 kian hampir dan semua pihak rancak berkempen. Antara yang paling seronok menggunakan isu hudud untuk berkempen ialah parti komponen BN MCA melalui kempennya menakut-nakutkan pengundi Cina menerusi iklan-iklan di akhbar miliknya, The Star.

Pun begitu, MCA tetap gagal mempengaruhi undi masyarakat Cina, malah hampir sahaja populasinya di arena politik negara pupus sama sekali. Hudud nampaknya bukan senjata yang ampuh untuk digunakan MCA, lalu kini senjata tersebut bertukar tangan dan nampaknya selesa dalam genggaman UMNO.

Polemik hudud timbul lagi dan kali ini UMNO kelihatan selesa mempergunakan isu tersebut sebagai modal yang cukup kuat baginya mengumpan ketergesaan PAS selain sentimen ‘kerajaan perpaduan’ yang tenggelam timbul sejak Kelantan tidak lagi diterajui Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat.

Menteri Besar Kelantan yang baru, Datuk Ahmad Yaakob, begitu bersemangat sekali meneruskan perjuangan melaksanakan hudud dengan sokongan yang tidak semena-mena timbul daripada dua tiga kerat pimpinan UMNO Kelantan yang sepertinya sudah mendapat hidayah dan menerima hudud sebagai suatu kefardhuan, berbanding beberapa tahun lalu.

“Laksanalah, kita sokong. Saya tidak tentang,” kata Ahli Parlimen UMNO Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah.

“Kita tidak tentang, tidak ada masalah. Mana mungkin kita hendak tentang hukum Allah,” katanya seperti dilapor Sinar Harian Online.

Turut sama menyatakan sokongan adalah Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed, yang malah ingin membawakan hasrat kerajaan PAS Kelantan itu kepada Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO.

Menurut Tok Pa, rancangan kerajaan Kelantan tersebut perlu dibuat secara rapi. Ini termasuk pendidikan berkaitan penguatkuasaan hukuman hudud tersebut.

“Tidak ada masalah…sebagai orang Islam, kita wajib sokong undang-undang Islam,” katanya kepada pemberita.

Serampang hudud kini menjadi senjata berat UMNO untuk melakukan beberapa perkara termasuk memenangi semula hati pengundi Melayu yang memilih PAS ketimbang parti pemerintah tersebut, selain untuk memecahkan kesatuan Pakatan Rakyat.

DAP jelas dengan pendiriannya bahawa hudud adalah bertentangan dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan, selain hudud juga tidak dimasukkan dalam kerangka dasar yang disepakati antara ketiga-tiga parti Pakatan Rakyat.

Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Karpal Singh telah berulang kali mengulang kenyataannya bahawa Parlimen tidak boleh membenarkan pelaksanaan sebuah undang-undang negeri yang bercanggah dengan peruntukan Perlembagaan.

Beliau memetik penghakiman kes Che Omar Che Soh v PP pada tahun 1988 yang dibuat oleh lima orang hakim Mahkamah Agung (waktu itu), diketuai Salleh Abas, yang memutuskan bahawa negara ini adalah sebuah negara sekular dan ditadbir dengan undang-undang sekular.

Sekiranya Parlimen membenarkan hudud dijadikan undang-undang jenayah maka Parlimen jelas bertindak bertentangan dengan undang-undang Perlembagaan kerana memusnahkan asas-asas pembentukan Perlembagaan tersebut yang meletakkan Malaysia sebagai sebuah negara sekular dan harus ditadbir dengan undang-undang sekular.

PAS barangkali perlu bertemu semula dengan pimpinan Pakatan Rakyat dan menyukat tindakan masing-masing supaya selari dengan janji dan mandat yang telah diberikan oleh rakyat dalam pilihanraya lalu. Adakah PAS sedang tergoda dengan lambaian UMNO yang begitu bersungguh bersetuju dengan tiba-tiba terhadap sesuatu yang dilawan dan ditentangnya sekian lama?

Apakah pula keadaan MCA melihatkan reaksi UMNO yang tiba-tiba turut terkinja-kinja mahu bersetuju dengan sesuatu yang bukan sahaja tidak disepakati Barisan Nasional malah ditentang dan dihina habis-habisan sejak dahulu? Adakah MCA akan meninggalkan UMNO dan Barisan Nasional sekiranya parti komponen utama perikatan pemerintah itu tunduk kepada kehendak sebuah parti pembangkang?

Semua ini telah kita lihat dalam kitaran strategi politik UMNO yang berulangkali dimainkan dengan harapan musuh-musuh politiknya tergugat dan tidak sepakat, serta supaya rakyat lalai dan dilupakan daripada soal-soal yang lebih mendesak seperti GST, catuan air, harga barang naik dan segala yang menyusahkan kehidupan.

Apakah rakyat akan lebih bijak menilai, atau akan tersentuh hati dengan permainan sentimen kaum dan agama? – Roketkini.com