Rencana

Menjadi liberal yang beriman – Muhammad Nazreen

Perkataan liberal selalu disalahtafsir. Liberal juga dianggap jahat, merosakkan dan berbahaya. Tak kurang juga yang mencemuh bahawa liberal bukan sebahagian daripada ajaran Islam. ‘Liberal’ juga dikaitkan sebagai kesan pengasingan agama daripada masyarakat – berkait rapat dengan sekularisme.

Liberalisme sebenarnya bertolak daripada perbahasan tentang kebebasan. Untuk membicarakan liberalisme, kita tidak boleh menolak kepentingan kebebasan sebagai tunjang faham liberalisme.

Kita boleh setuju bahawa tiada kebebasan abadi dan semua orang terikat dengan aturan undang-undang. Perbahasan tentang nilai kebebasan, sepertimana dijelaskan dalam tradisi liberalisme, bukan sekadar untuk kita menjadi bebas, tetapi juga menjadi manusia bebas yang bertanggungjawab.

Antara kejayaan terbesar liberalisme termasuklah penghapusan sistem perhambaan secara keinstitusian. Revolusi gemilang abad ke-18 yang didukung gerakan liberalisme berjaya membuka ruang dan penyertaan politik kepada golongan bukan-feudal untuk terlibat dalam  proses politik dan pilihanraya. Liberalisme juga menyumbang ke arah penubuhan akta sivil Great Reform Act di Britain dan Bill of Right di Amerika Syarikat.

Jadi, apakah liberalisme ancaman terhadap kemurnian beragama? Bukankah sumbangan terbesar mazhab liberalisme adalah untuk mendokong toleransi beragama? Bukankah liberalisme sebagai sistem pemikiran juga telah berjaya mengangkat taraf manusia, selari dengan anjuran agama.

Nama liberal bukan sahaja busuk di kalangan umat Islam, tetapi juga dalam konteks masyarakat Barat. Menurut sejarawan Neil Jumonville dan Kevin Mattson dalam Liberalism for a New Century – perkataan liberal sudah menjadi terlalu hina di Amerika akibat salah faham “‘golongan kanan’ terhadap cita-cita murni masyarakat liberal untuk membentuk suasana yang bebas dan adil.” Malah, di Amerika Syarikat, mereka lebih rela untuk menggantikan mazhab pemikiran liberalisme dengan progresivisme.

Memahami sejarah liberalisme

Untuk mengenali liberalisme, kita harus kembali menyelidik teks-teks penting yang menjadi asas pengukuhan ideologi liberalisme. Salah satunya yang penting adalah A Letter Concerning Toleration (1682) yang ditulis oleh pemikir Inggeris John Locke.

Locke dianggap sebagai bapa kepada mazhab liberalisme. Menurut Locke, kebebasan itu adalah alat untuk mencapai keadilan yang manusiawi; keadilan tidak boleh dicapai tanpa kebebasan individu.

Idea ini dipanjangkan oleh pemikir selepas Locke seperti, antara yang terpenting, John Stuart Mill, Alexis De Tocqueville, Adam Smith dan Thomas Jefferson.

Dalam makalah pendek On Liberty, John Stuart Mill menekankan kebebasan individu sebagai asas kenegaraan. Kerajaan tidak boleh masuk campur dalam ruang individu. Mill menjelaskan bahawa peranan kerajaan adalah untuk melindungi ‘sanctity of freedom’, iaitu kebebasan manusia untuk menentukan diri dan nasibnya sendiri.

Perbahasan tentang liberalisme ini kemudiannya dipanjangkan lagi oleh pemikir-pemikir moden, termasuk Isaiah Berlin menerusi esei ‘Two Concept of Liberty’ yang mencerakinkan konsep yang digelarnya sebagai kebebasan positif dan kebebasan negatif.

Kebebasan positif, menurut Berlin, adalah kebebasan yang dapat menaiktaraf kreativiti manusia dan dapat dimanfaatkan untuk membangunkan kemanusiaan.

Kebebasan negatif pula adalah kebebasan yang digunakan manusia untuk menghancurkan potensi dirinya, misalnya kebebasan untuk meminum minuman keras, dan mereka perlu memikul sendiri akibat buruk dari penggunaan kebebasan negatif.

Pemikir liberal semasa seperti Richard Rorty dan John Rawls pula menekankan kepentingan hak madani dalam masyarakat moden. Rawls misalnya menulis tentang ‘political liberalism’  dan membahaskan peranan institusi untuk melindungi kebebasan manusia secara prosedural.

Liberalisme: Anti atau Pro-Agama?

Kita selalu dengar syarahan yang memburukkan liberalisme. Malah, liberalisme dijadikan ‘punching bag’ oleh golongan agamawan. Liberalisme dianggap sebagai ancaman orang beragama. Mereka beranggapan bahawa liberalisme adalah alat orientalisme, sekularisme dan berbagai jenis isme untuk merosakkan akidah masyarakat yang beragama. Tak jauh juga dengan tuduhan bahawa liberalisme adalah ideologi yang asalnya merupakan pemikiran anti-agama.

Sejauh manakah kebenaran ini?

Penulis asal Turki Mustafa Akyol dalam kolumnya menjelaskan bahawa pengalaman liberalisme itu sendiri berakar daripada pengalaman beragama. John Locke adalah tokoh yang sangat religius. Locke menekankan prinsip-prinsip keagamaan semasa menulis Two Treatises of Government dalam sanggahannya ke atas Sir Robert Filmer terhadap konsep kerajaan kudus. Dia merumuskan peranan liberalisme bukanlah untuk menolak agama tetapi mengelakkan agama menjadi musnah akibat daripada politik dan kekuasaan.

Nader Hashemi dalam bukunya, Islam, Secularism and Liberal Democracy, menerangkan bahawa kejayaan sistem politik Islam bergantung kepada kesediaan untuk menerima asas-asas liberalisme. Nader beranggapan bahawa tahap kesediaan Islamis untuk menerima konsep demokrasi, hak asasi, dan keterbukaan bergantung kepada kesediaan gerakan Islam meminjam hasrat liberalisme untuk menubuhkan asas negara madani.

Tiga ciri liberal yang beriman

Allan Wolfe, dalam The Future of Liberalism, memperjelas salah faham orang ramai terhadap liberalisme. Dia menekankan asas utama liberalisme sebagai:

As many people as possible should have as much say is feasible over the direction their lives will take.”

Liberalisme menekankan penyertaan orang ramai untuk menentukan nasib mereka sendiri. Liberal percaya bahawa setiap orang harus disatukan di bawah satu konsensus dan dilindungi hak mereka untuk berbicara. Menurut Wolfe, ciri-ciri liberal yang baik adalah:

a) Kesaksamaan dari masyarakat

Bagi liberal sejati, mereka beranggapan bahawa kesaksamaan itu datang daripada keinginan masyarakat. Kerajaan mempunyai ruang yang terbatas untuk menentukan kesaksamaan. Usaha untuk menjalankan polisi kesaksamaan selalunya gagal jika diusahakan oleh kerajaan dan bukan masyarakat.

b) Komitmen terhadap toleransi

Asas utama liberalisme adalah untuk tidak memaksa pendapat ke atas orang lain. Pemikir Voltaire mengatakan, “Saya akan bermati-matian mempertahankan hak anda untuk menungkapkan pendapat, walaupun saya tak bersetuju dengannya.” Sikap seorang liberal yang beriman adalah menzahirkan rasa toleran terhadap pandangan yang berbeza.

c) Keterbukaan

Seorang liberal harus sentiasa bersikap terbuka terhadap pendapat-pendapat baharu yang bertentangan dengan stereotaip pemikiran masyarakat yang konservatif. Mereka tidak akan berhenti membuka seluas-luasnya peluang untuk berfikir dan membangunkan daya intelek. Bagi liberal, kebebasan untuk meneroka idea baharu adalah satu rahmat.

Liberalisme dan masa hadapan

Pemikir politik Francis Fukuyama beranggapan bahawa matlamat akhir sejarah adalah terdirinya sistem demokrasi liberal. Sistem demokrasi liberal bertolak daripada runtuhnya Tembok Berlin pada 1989 sebagai kesan kegagalan komunisme. Tesis ini kemudian dikritik hebat. Gerakan liberalisme dijadikan alat untuk mengabsahkan keinginan perang dan ekonomi. Mereka yang bergelar ‘liberal internationalis’ menggunakan alasan demokrasi sebagai sebab berlakunya peperangan.

Liberal juga dikaitkan dengan rejim Margaret Thatcher dan Ronald Reagan yang menekankan peranan penswastaan menerusi dasar kerajaan sebagai doktrin liberalisme yang rasmi. Mereka (para liberal) mencapai kata putus dalam sebuah konsensus yang dikenali sebagai ‘Washington Consensus’ sebagai usaha menyebarkan ideologi liberalisme menerusi pendekatan pasaran.

Memang benar liberalisme itu sinonim dengan konsep pasaran bebas. Tetapi, peranan liberalisme ternyata lebih luas dari itu. Liberalisme adalah ideologi yang menekankan kuasa kemanusiaan dan kesaksamaan. Kebebasan merupakan matlamat akhir buat penganut liberal yang baik. Tetapi sejauh mana liberalisme itu berjaya?

Ia bergantung kepada usaha untuk meramaikan lagi penganut liberal yang beriman!