Rencana

Ole-ole dari hutan paya bakau Pontian – Dyana Sofya

Semasa mengikuti program menanam anak pokok ‘api-api’ yang dianjurkan oleh NGO Jaring dan Impian Malaysia di Pontian, Johor, hujung minggu lalu, saya telah ditujukan soalan: “Dyana tak geli ke dengan lumpur ni?”

Saya yang dulu agak aktif berpengakap semasa di zaman persekolahan tidak mempunyai masalah untuk tinggal dalam hutan selama beberapa hari mahupun bergelumang dalam lumpur. Malah, lumpur hutan paya bakau Pontian itu mengingatkan saya kepada sepotong ayat Al-Quran yang menyatakan bahawa kita manusia berasal dari tanah: “Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari pati (yang berasal) dari tanah” (Surah Al-Mu’minun, ayat 12)

Letaknya tanah di bawah tapak kaki kita – setiap kali teringatkan hakikat ini, timbulnya perasaaan insaf dan rendah diri yang teramat sangat dan peringatan dari ibu saya yang sentiasa berkata, “Di mana pun kita berada, jangan sombong.”

Saya juga teringat kisah penghulu malaikat Azazil yang dilaknat, diusir dari syurga, serta hilang kecantikan, kedudukan, dan hak beliau untuk menduduki syurga atas sebab ketakburan dan keangkuhan dirinya. Sebagai penghulu malaikat Azazil merasakan dirinya lebih baik dan mulia untuk tunduk kepada Nabi Adam.

Berdasarkan sifat murni rendah diri yang dipupuk oleh Islam itu sendiri, saya gagal untuk memahami sesetengah pihak yang terus-menerus memerperjuangkan suatu keturunan lebih berhak dan lebih baik tinggi kedudukannya dari keturunan yang lain.

Saya juga tidak faham mengapa orang yang memperjuangkan agama Islam pada masa yang sama menggalakkan layanan double standard kepada rakyat Malaysia yang lain hanya kerana mereka berbeza sehingga sanggup mengatakan bahawa “ada harga yang harus dibayar atas penganugerahan kewarganegaran kepada yang bukan-Islam.”

Adakah Perlembagaan Persekutuan telah dipinda semasa kita sedang dibuai mimpi malam tadi dengan menyatakan kewarganegaraan dianugerahkan berdasarkan agama seseorang itu?

Mereka juga mendakwa orang bukan-Islam tidak boleh tamak sehingga mahu mengganggu hak istimewa dan kepentingan orang Melayu dan Bumiputera yang merupakan penduduk asal negara ini.

Saya menolak untuk berhujah mengenai siapa yang menjejakkan kaki ke tanah ini dahulu (walaupun terdapat bukti fizikal bahawa Kedah Tua banyak dipengaruhi oleh agama Buddha dan Hindu) kerana suka atau tidak, Malaysia adalah tanah tumpah darah kita semua dan tiada siapa patut dilayan secara berbeza hanya kerana (dikatakan) nenek moyang mereka terlepas bot yang lebih awal.

Rakyat Malaysia juga terdiri daripada orang bukan-Melayu dan orang bukan-Islam. Mereka bukan musuh Melayu-Muslim.

Telah tiba masa kita membuang sikap angkuh yang menyebabkan Sultan Mahmud membunuh isteri orang hanya kerana seulas nangka, atau keangkuhan yang menyebabkan Temasek jatuh kerana menghapuskan orang pintar seperti Hang Nadim.

Telah tiba masa untuk kita lebih merendah diri.

Rendah diri bukan bermakna kita perlu mengenepikan semua kepentingan diri. Antara maksud rendah diri di sini ialah kita tidak perlu terlalu kerap memikirkan tentang diri sendiri.

Dengan rasa rendah diri, kita akan sentiasa menghormati antara satu sama lain walaupun kita berbeza. Sifat rendah diri akan membantu kita untuk tidak terlalu memberikan tumpuan kepada perbezaan dan sebaliknya mencari persamaan.

Hujung minggu di hutan paya bakau mengingatkan saya kepada sifat ini. Walaupun saya pulang dari sana dengan perasaan letih dan lumpur terpalit di muka, saya agak berpuas hati dengan sumbangan kecil saya kepada alam sekitar, meluangkan masa dengan adik saya yang sama-sama menyertai aktiviti tersebut dan diberi ganjaran dengan kulit lembut oleh alam itu sendiri – dengan serta-merta!