Wawancara

Di belakang gambus Dewangga Sakti (bahagian 1)

Zul tiba tanpa newsboy cap-nya, berbaju T hitam dengan mesej bercetak ‘Selamatkan Pasar Payang Warisan Kita’. Pemuzik dengan baju slogan tidak dapat dipisahkan. Tapi hanya propagandis yang melihat semua perkara sebagai propaganda. Jadi kita mula semula: Zul tiba tanpa newsboy cap-nya, berbaju T hitam, dengan potongan rambut yang baru. Ok, cun.

Kami bersalaman dan Zul memberitahu bahawa anggota Dewangga Sakti (DS) lain masing-masing ada urusan. Kecuali Norman, Sang Penggesek Biola, yang ketika dihubungi tidak menjawab henfonnya dan dipercayai berada di atas motor. Norman tiba dengan selamat tidak lama kemudian. Saya sedang bertanya tips penjagaan rambut panjang Norman ketika Roy tiba-tiba menjerit. “Sasterawan! Sasterawan tak jadi datang,” kata Roy panik.

Orang ramai yang bersidai di luar balkoni terpaksa menenangkan Roy. Roy datang dari jauh, bawa satu beg Karrimor saiz 30 liter penuh dengan buku untuk ditandatangani. Dia tiba di Kuala Lumpur (selepas menempuh pelbagai dugaan) hanya untuk merasai erti sebuah kekecewaan.

“Kesian,” bisik seseorang di sebelah saya, “Dia datang nak jumpa sasterawan.”

“Tak apa,” saya balas, tepuk bahu Roy, hulurkan tangan untuk pimpin dia bangun. “Tak ada sasterawan, kita tengok angkasawan,” saya kata kepada Roy dan kami sama-sama masuk ke dalam galeri.

Processed with VSCOcam with m3 presetZul di pentas bersiap dengan gambus, Norman dengan biola. Zul menjemput penonton turut serta. Saya jangkakan ada orang naik pentas buat yoga tapi tak ada sesiapa yang tahu apa-apa pasal yoga. Ronasina naik pentas, capai mikrofon, dan dengan diiringi petikan gambus yang disulam dengan gesekan biola, dia lontarkan suara garaunya dengan baris sajak Ibn Arabi versi terjemahan Alor Setar.

Gambus. Biola. Ibn Arabi. Apa yang diperlukan untuk potong stim ketika kau cuba pura-pura faham ambiens penuh seni begitu? Dua manusia yang duduk di kerusi depan berbual. Suara mereka cukup untuk timbul di celah gema akustik. Saya percaya semua orang berhak bergembira ikut cara masing-masing. Kita semua faham bila-bila masa saja loji nuklear akan meletup. Tapi itu tidak bermakna kau patut buat bising. Tak sopan. Dan setakat ini, tak ada lagi loji nuklear di Malaysia.

Pengacara majlis kemudian ambil alih pentas dan mengucapkan terima kasih menandakan tamatnya acara petang itu. Saya keluar galeri. Roy sudah tidak kelihatan tapi saya sikit pun tidak rasa kehilangannya. Di luar, hujan turun membasahi bumi Publika selepas lebih dua minggu cuaca panas kering. Kami capai persetujuan untuk menuju ke restoran berhampiran untuk basahkan tekak.

Pemisahan seni budaya

“Kami dari portal DAP, boleh ke? Nanti kena gam ke apa…,” saya mulakan wawancara sebaik minuman masing-masing mendarat di atas meja.

“Tak kisah, kami raikan semua,” jawab Zul ringkas kemudian mengimbas penglibatan mereka dalam Pesta Lagu Jalanan anjuran Roketkini tidak lama dulu. Zul menambah bahawa dia sedar hakikat di negara ini di mana pengkarya dihimpit dengan politik kepartian dari setiap penjuru selagi mana konflik kepentingan wujud. Alasan klasik; jaga periuk nasi.

“(Mentaliti sesetengah rakyat) Malaysia ni bodoh sikit, kurang matang. Sepatutnya tak ada pemisahan antara parti dalam seni budaya. Rasanya kami main muzik yang semua orang boleh dengar. Kita (pemuzik) patut engage dengan semua orang,” kata Zul.

Zul kemudian bercerita secara ringkas tentang penubuhan DS, yang mana tiada apa-apa yang unik dalam cerita itu. Seperti band lain, DS tidak terlepas dengan dugaan dan cabaran untuk memastikan karya dan muzik mereka terus bernyawa. Komitmen, tegas Zul, itu yang penting. Kewangan, promosi, pemasaran dan benda-benda lain datang kemudian.

“Peraturannya; rakam dan terbitkan. Kami dah sampai rasa tahap nak putus asa. Tapi kami kena habiskan apa yang kami mulakan,” jelas Zul sambil memperinci proses penerbitan EP sulong mereka, ‘Mabok Kepayang’. EP itu dimulakan seawal 2006 dan cuma diterbitkan pada 2008.

“Kami tak tahu apa-apa tentang scene. Sasaran audiens, pasaran, nak bawak pergi mana…. semua tu. Kami nak main muzik. Kami dah terlibat dengan Kementerian Pelancongan, tapi band yang main selalunya main muzik tradisional lama. Lagu-lagu lama. Kami nak main lagu baru. Lagu yang identik dengan zaman kita punya.”

Malas atau cerewet?

Processed with VSCOcam with m3 presetDitanya tentang album terbaru, Zul betulkan posisi duduknya. Norman yang dari tadi ketawa, masih lagi ketawa, cuma sedikit lebih kuat. “Sikit lagi nak siap”. Jawapan yang diberikan Norman. Jawapan sama dua tahun lepas.

“Rekod dah 8, 9 lagu dah,” tambah Zul, “Tapi tak habis. Tak jadi lagi. Sikit lagi. Dah nak sampai.”

Dua kemungkinan kita boleh ambil: Pertama, mereka ni pemalas, dan seperti kebanyakan pemalas, mereka sangat cemerlang bagi alasan kepada diri sendiri. Kedua, mereka cerewet, jenis yang tidak mudah berpuas hati dengan hasil kerja sendiri. Mereka ambil masa, perkemas, perinci, perhalus, buang apa yang tak patut, tambah apa yang perlu ditambah, sampailah dapat perisa yang dinginkan.

Album baru, ikut cerita Zul, sudah dimulakan sejak 2009. Maknanya, empat tahun lepas, dan dalam empat tahun itu macam-macam hal yang jadi.

“Risau jugak masalah akustik,” kata Zul merujuk kepada pertukaran lokasi studio sebanyak tiga kali yang merupakan antara lain masalah yang mereka hadapi. “Tapi kalau miking betul, dan orang tu pandai buat, tak ada masalah. Tension jugak cerita pasal benda ni. Boleh je tukar studio lain. Tapi kami pentingkan kemistri, jadi kami tunggu. Owner studio tu dah faham muzik kami. Dewangga Sakti ada enam orang. Dia dah jadi macam orang ke-7. Ada sekali kami tak boleh masukkan bass. Dia yang masukkan.”

Dari gelap ke terang

“Kalau kau perasan, lagu ni lain sikit dari lagu-lagu lama,” kata Zul yang memainkan salah satu lagu baru DS yang disimpan dalam henfonnya. Saya tidak akan bercakap teknik-teknik muzik DS yang diceitakan Zul panjang lebar. Pertama; sebab saya tak tahu apa-apa tentang teknik muzik. Kedua; kau pun sama. Jadi kita cakap tentang manusia bernama Zul.

Zul, atau nama penuh Zulkifli Ramli, graduan UIA. Maknanya, dia sepatutnya, gemuk, berjambang, dan bipolar. Tapi dia bertubuh kecil, dengan janggut sejemput tumbuh segan di dagu, dan insyaAllah, tiada ciri-ciri seorang bipolar. Ada pemuzik (pengkarya) yang sengaja menyembunyikan taring di sebalik perwatakan polos dan selalunya karya mereka ini lebih ‘berisi’ berbanding mereka yang ke hulu ke hilir menjeritkan mesej-mesej dalam karya mereka.

Zul pernah menyertai ‘dunia kegelapan’ satu ketika dulu. Gelap tak gelap, kira dia ni ‘geng jahat’ jugak lah. Dulu dia ada band metal, Cryptic Malediction. Saya tak pernah dengar tentang band itu dan rasanya itu sudah cukup untuk menggambarkan kegelapan Zul memandangkan saya bernafas dengan muzik dunia terang MTV. Tapi transisi Zul dari genre metal kepada muzik tradisional bukanlah pusingan U atau kerana Zul bermimpi didatangi lelaki tua bertongkat.

“Sejak dari Cryptic Malediction lagi saya banyak masukkan dalam lirik tentang (budaya) Melayu,” kata Zul yang pertama sekali jatuh cinta pada muzik tradisional setelah mendengar lagu Kartina Dahari di tempat kerjanya. Dari cinta pendengaran pertama itu, bermulalah penggalian tentang muzik-muzik tradisional.

“Di Solo, kalau nak buat gong, kena duduk dalam bilik gelap, tak ada orang boleh tengok dan orang yang buat tu cuma boleh pakai spender je,” cerita Zul sebelum berkongsi anekdot pengalaman bermain gamelan yang mana tiba-tiba angin bertiup kencang.