Berita

Projek tenaga solar langkah terdesak kerajaan selamatkan 1MDB

KUALA LUMPUR, 15 APR: Dalam cubaan terbaru kerajaan Barisan Nasional untuk menyelamatkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Tenaga Nasional telah menganugerahkan syarikat tersebut kontrak pembinaan sebuah stesen janakuasa tenaga solar di Kedah dan pembekalan tenaga elektrik tanpa tender terbuka atau sebarang proses telus.

1MDB dilaporkan sarat menanggung hutang akibat daripada pinjaman yang diambil untuk mendanai pengambil-alihan syarikat-syarikat pengeluar tenaga bebas (IPP) yang dianggar berjumlah RM12.05 bilion.

Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua ketika mengulas hal tersebut dalam satu kenyataan memberitahu bahawa 1MDB sejak 2012 menggunakan strategi yang cuai untuk membeli tiga syarikat IPP yang bakal habis kontraknya dengan harga yang sangat tinggi.

Tiga syarikat IPP tersebut ialah Tanjong Energy Sdn Bhd (RM8.5 bilion), Genting Sanyen (RM2.35 bilion) dan stesyen janakuasa Jimah (RM1.2 bilion).

Menurut Tony Pua, penganugerahan projek stesen janakuasa solar 50MW di Kedah tersebut yang akan diselenggara sepunuhnya oleh 1MDB adalah satu langkah terdesak pentadbiran Perdana Menteri Najib Razak untuk menyelamatkan 1MDB yang kini menanggung hutang lebih RM30 bilion.

“Perdana Menteri mesti memberi jawapan kenapa 1MDB diberikan projek tersebut tanpa sebarang tender, secara terbuka atau tidak,” tegas Tony.

Katanya ini turut dilakukan selepas Suruhanjaya Tenaga memberi jaminan kepada sektor penghasilan tenaga bahawa syarikat IPP tidak akan lagi boleh mendapatkan kontrak kerajaan secara rundingan terus.

“Lebih teruk lagi, penganugerahan ini memintas Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) yang dibentuk di bawah Akta Tenaga Boleh Baharu yang sedang melaksanakan kuota terhad tidak melampaui 30MW kepada syarikat yang berminat menyediakan tenaga boleh baharu,

“Maka di saat syarikat-syarikat lain terpaksa bersaing untuk mendapatkan kuota terhad bagi menyediakan tenaga solar, 1MDB mendapat durian runtuh 50MW,” ujarnya menjelaskan usaha terdesak kerajaan itu.

The Edge Malaysia pada bulan Februari lalu melaporkan bahwa aliran kewangan daripada pengambil-alihan tiga syarikat IPP itu tidak pun mampu untuk membayar kadar faedah pinjaman yang diambil oleh 1MDB untuk membeli syarikat-syarikat tersebut.

“Hasil daripada salah urus dan dasar-dasar cuai pentadbiran Najib dan 1MDB, rakyat biasa akan terpaksa bertahan untuk berhadapan tarif elektrik lebih tinggi demi memastikan 1MDB mendapat keuntungan supaya dapat membayar hutang-hutangnya,” kata Tony. – Roketkini.com