Berita

Perpindahan BSM aib untuk kerajaan Selangor dan Pakatan

KUALA LUMPUR. 16 APR: Kerajaan Negeri Selangor diingatkan supaya tidak mengambil ringan sokongan besar yang diterimanya pada pilihanraya yang lalu sehingga gagal melindungi hak asasi dan kepentingan golongan minoriti.

Cara kerajaan Selangor pimpinan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menangani isu agama minoriti seperti dalam kes serbuan dan rampasan Bible di premis Bible Society of Malaysia (BSM) memperlihatkan kurang peduli mereka.

BSM akhirnya membuat keputusan untuk meninggalkan Selangor dan berhijrah ke Kuala Lumpur dengan alasan “Putrajaya menawarkan perlindungan yang lebih baik kepada agama minoriti,” yang dilihat sebagai satu tamparan hebat kepada Pakatan Rakyat.

Pengerusi DAP Selangor, Tony Pua dalam kenyataannya mengulas hal terbabit berkata keputusan BSM untuk berpindah keluar dari Selangor bukan sahaja memalukan kerajaan negeri, malah juga Pakatan Rakyat kerana gagal menepati janji untuk melindungi hak golongan minoriti.

“Paling mengecewakan ialah sikap sama sekali tidak peduli kerajaan negeri Selangor,” ujarnya.

“Pendirian Kerajaan Negeri ditunjukkan melalui respons Menteri Besarnya terhadap keputusan BSM yang hanya mengucapkan ‘all the best’, seolah-olah perpindahan tersebut menghilangkan suatu gangguan terhadap kerajaan,” kata Tony.

Dalam insiden awal Januari lalu, premis BSM diserbu oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sebuah badan yang dikawalselia Majlis Agama Islam Selangor. Sebilangan naskhah Bible berbahasa Melayu dan Iban dirampas di bawah peruntukan Enakmen Agama Bukan Islam Selangor 1988.

Insiden tersebut terjadi berikutan polemik penggunaan kalimah ‘Allah’ oleh orang bukan-Islam di bawah undang-undang berkenaan.

Kerajaan Negeri dilihat memberi banyak janji-janji untuk membantu menyelesaikan masalah tersebut namun kelihatan seolah-olah tidak ada kesungguhan atau sekurang-kurangnya membela hak kumpulan yang terlibat.

Menurut Tony lagi, kerajaan negeri Selangor jelas gagal menghormati keputusan dan pendirian Pakatan Rakyat meskipun EXCO Hal Ehwal Islam Sallehin Mukhyi telah menjelaskan bahawa di bawah enakmen terbabit orang bukan-Islam dibenarkan menggunakan kalimah ‘Allah’ selagi bukan dengan tujuan menyebarkan agama lain kepada orang Islam.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara turut mengingatkan bahawa kegagalan BN mempertahankan hak golongan minoriti tidak patut menjadi alasan untuk kerajaan Pakatan Rakyat juga turut berbuat demikian.

“Kita jangan lupa bahawa rakyat telah memberikan kemenangan yang besar di Selangor dalam PRU yang lalu kerana mereka mengharapkan yang lebih baik daripada kita,” ujarnya lagi.

Tony menyeru Kerajaan Negeri Selangor supaya memperlihatkan keberanian politik dan menggunakan mandat yang ada untuk menegakkan pendirian dan prinsip Pakatan Rakyat.

“Jika kita gagal menjadikan Selangor negeri contoh Pakatan Rakyat, maka kita boleh ucap selamat jalan kepada cita-cita menawan Putrajaya,” katanya. – Roketkini.com