Berita

Kerajaan perlu nyatakan pendirian jelas tentang kes culik anak S Deepa – Teresa Kok

KUALA LUMPUR, 15 APRIL: Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Zahid Hamidi dan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar diminta menyatakan sikap jika S Deepa yang melarikan anaknya dan bukan Izwan Abdullah.

Menurut Ahli Parlimen DAP Seputeh Teresa Kok Suh Sim, keengganan polis bertindak dalam kes penculikan anak lelaki S Deepa oleh bekas suami beliau telah mendapat kritikan meluas dari pelbagai pihak sehingga ada gesaan supaya KPN meletakkan jawatan.

Khalid sebelum ini berkata, polis tidak bertindak kerana Mahkamah Tinggi Seremban memberikan hak penjagaan kepada Deepa manakala Izwan pula diberikan hak sama oleh mahkamah syariah.

Namun, perkara ini dikritik oleh bekas Menteri Undang-undang Datuk Nazri Nazri Aziz yang menyatakan bahawa polis silap jika menganggap undang-undang syariah membolehkan seorang mualaf menculik anak selepas kehilangan penjagaan hak.

Bagaimanapun, pada 14 April lalu, Zahid telah mempertahankan pendirian KPN dan mendakwa ia adalah juga pendirian rasmi Kementerian Dalam Negeri (KDN).

“Adakah wujud pendirian berasingan antara kementerian dan kerajaan? Apabila dua menteri kabinet menyatakan pandangan berbeza, apakah pendirian kerajaan?” soal Teresa.

Teresa yang juga Naib Pengerusi DAP Kebangsaan mengingatkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak agar tidak terus berdiam diri dan segera menyatakan pendiriannya.

“Kabinet telah membuat keputusan yang adil pada April 2009 bahawa anak-anak perlu dibesarkan dalam agama ketika ibu-bapa berkahwin jika salah seorang daripadanya menukar agama.

“Najib harus menjelaskan kepada rakyat sama ada dia masih komited dengan keputusan itu dan jika ya, bila kerajaannya akan membuat perubahan undang-undang untuk membawa penyelesaian muktamad kepada isu penukaran agama sepihak,” tegas beliau -Roketkini.com