Berita

Tambah pusat jagaan, cegah risiko kematian kanak-kanak

KUALA LUMPUR, 16 APRIL: Peningkatan jumlah pusat jagaan kanak-kanak di tempat kerja akan dapat membantu mencegah kemalangan yang dapat membawa kepada kematian kanak-kanak, kata Ahli Parlimen DAP Kulai Teo Nie Ching.

Menyebut kes seorang kanak-kanak berusia tiga tahun yang telah meninggal dunia dalam kereta selepas ditinggalkan ibunya di tempat parkir sebuah sekolah menengah di Subang Jaya, beliau menyatakan bahawa seperti itu dapat dielakkan jika pusat jagaan diwujudkan di tempat kerja.

“Menjadi tanggungjawab setiap ibu-bapa untuk menjaga kebajikan anak-anak, tetapi kerajaan juga harus memainkan peranan dengan menyediakan tempat kerja yang lebih mesra keluarga,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada 9 April lalu, Nie Ching bersama beberapa Ahli Parlimen Pakatan Rakyat (PR) yang lain telah membawa bayi masing-masing ke Parlimen sebagai langkah simbolik menuntut kerajaan menambahkan pusat jagaan anak di sektor awam dan swasta yang terlalu sedikit jumlahnya.

Beliau ketika itu mendesak kerajaan menubuhkan lebih banyak pusat jagaan kanak-kanak di jabatan kerajaan, serta menekankan hal sama kepada sektor swasta, jika masing-masing serius ingin mencapai sasaran 55 peratus tenaga kerja wanita pada 2015.

Namun, usaha Nie Ching telah mendapat kecaman dari Ketua Biro Publisiti Wanita MCA, Ivone Low yang mendakwa tindakan membawa bayi itu hanya untuk mencari perhatian dan Parlimen bukanlah tempat sesuai untuk ditubuhkan pusat jagaan kanak-kanak.

Menyelar dakwaan Low, Nie Ching yang juga Penolong Setiausaha Publisiti DAP berkata, pusat jagaan kanak-kanak telah dipraktikkan di Parlimen Scotland.

“Pusat jagaan kanak-kanak itu adalah satu-satunya kemudahan seumpamanya di Eropah dan disifatkan oleh Badan Korporat Parlimen Scotland sebagai salah satu unsur penting dalam mewujudkan dewan perundangan yang terbuka dan mesra pengunjung.

“Tujuan utamanya adalah untuk menyediakan pengawasan bagi anak-anak kakitangan parlimen dan pelawat. Ia juga percuma kepada semua orang. Jadi apa asasnya apabila Low mengatakan ‘Parlimen bukanlah tempat yang sesuai?’” soalnya.

Jelasnya, penjagaan kanak-kanak bukan isu peribadi, ia mempunyai kesan besar kepada ekonomi dan perlu dimanfaatkan untuk mencapai impian menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi.

“Tahap penyertaan tenaga buruh di kalangan wanita negara kita adalah paling rendah di Asia Timur. Sekurang-kurangnya sebanyak 500,000 daripada 2.3 juta wanita Malaysia tidak mengisi pasaran kerja.

“Kekurangan pilihan pusat jagaan kanak-kanak yang mampu dilanggani dan bermutu tinggi di luar rumah juga mempengaruhi keputusan wanita untuk tidak melibatkan diri dalam pasaran kerja.

“Jadi dengan menubuhkan pusat jagaan di tempat kerja, ia akan mengembangkan semula potensi wanita,” ujarnya. -Roketkini.com