Berita

Kajian terbaru dapati penyaluran maklumat dan bantuan pendidikan kepada golongan miskin tidak berkesan

KUALA LUMPUR, 17 APR: Sebahagian besar golongan berpendapatan paling rendah di negara ini tidak pernah mendengar tentang Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia dan ini menjadi petunjuk jelas bahawa mereka tidak dilibatkan dalam proses rundingan rancangan tersebut.

Kesimpulan itu dibuat berdasarkan hasil kajian badan pemikir Institute for Democracy and Economic Affairs (IDEAS) daripada soal selidik yang dijalankan ke atas 1,200 individu daripada golongan yang pendapatan mereka di tahap 40 peratus terendah dalam negara.

Kajian tersebut dilakukan IDEAS untuk memastikan suara golongan paling miskin dalam negara dapat didengar setelah mereka tidak dilibatkan secara memadai sewaktu pelan pendidikan tersebut dirangka.

Selain masalah jurang maklumat, kajian itu juga mendapati bahawa bantuan pendidikan yang diberikan kerajaan tidak sampai kepada mereka – hanya 62 peratus responden dalam kajian berkenaan mengetahui tentang Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin yang disasarkan kepada mereka dan hanya 15 peratus daripada mereka mendapat manfaat daripada tabung tersebut.

Menurut IDEAS dalam kenyataan medianya, hal ini membangkitkan keperluan untuk meneliti mekanisme penyampaian skim bantuan tersebut yang jelas tidak berfungsi dengan sepatutnya.

Mengulas hasil kajian IDEAS itu, Ahli Parlimen DAP Bukit Bendera Zairil Khir Johari berkata penemuan kajian adalah konsisten dengan kritik utama Pakatan Rakyat terhadap sistem pendidikan negara yang dikawal secara terlalu berpusat.

“Ini mengakibatkan keadaan di mana keputusan dibuat tanpa melibatkan golongan yang paling penting, iaitu rakyat di bawah,” ujar Zairil mengkritik pendekatan atas-ke-bawah kerajaan Barisan Nasional.

“Jika kita mahukan sistem pendidikan yang berdasarkan gerak hati dan memberi fokus kepada pembangunan yang holistik, maka tidak boleh tidak semua pihak berkepentingan dilibatkan sama,” tambahnya.

Menurut Zairil lagi, Pakatan Rakyat telah pun mencadangkan supaya diadakan pemecahan kuasa dalam sistem pendidikan agar kuasa tidak berpusat di peringkat persekutuan dan diberikan autonomi kepada sekolah, selain melibatkan masyarakat dan ibu-bapa dalam kurikulum sekolah. – Roketkini.com