Berita

Karpal perjuangkan nasib rakyat, tanpa mengira kaum – Guan Eng

KUALA LUMPUR, 17 APR: Sebagai menghormati pemergian Karpal Singh, DAP akan menangguhkan semua acara dan majlis di seluruh negara sehingga ke suatu tempoh selepas pengkebumian.

“Semua pejabat DAP seluruh negara akan mengibarkan bendera separuh tiang selama seminggu sebagai mengenang pemergian tokoh besar kita,” kata Setiausaha Agung Lim Guan Eng dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Guan Eng, DAP juga akan membentuk Jawatankuasa Pengkebumian Kebangsaan diketuai Pemangku Pengerusi Tan Kok Wai, manakala Pengerusi DAP Pulau Pinang Chow Kon Yeow mengepalainya di peringkat negeri.

“Kedua-dua mereka akan mengumumkan perincian tentang ahli jawatankuasa serta aturcara pengkebumian nanti setelah berunding dengan anggota keluarga Karpal.

“Penghormatan terhadap jenazah akan dimulakan jam 3 petang ini di rumah Karpal di 144A Jalan Utama, Pulau Pinang.

“Jenazah akan diarak pada jam 11 pagi, Ahad, 20 April, ke Batu Gantong Crematorium, Pulau Pinang,” ujarnya.

Beliau yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, pemergian pemimpin yang berani dan luar biasa seperti Karpal merupakan kehilangan amat besar bukan saja untuk DAP, malah untuk negara, serta sukar untuk dicari ganti.

“Pemergian beliau adalah kehilangan yang sangat besar untuk semua. Negara hilang seorang ahli perundangan pintar, manakala rakyat hilang ‘harimau’ yang gagah membela nasib golongan miskin, kurang berkemampuan dan terpinggir.

“Ketiadaan beliau meninggalkan ruang kosong yang besar dalam kehidupan keluarganya dan semua warga Malaysia.

“Buat Karpal, DAP berkongsi kesedihan dan menyampaikan rasa simpati serta ucapan takziah tidak terhingga,” katanya, sugul.

Karpal adalah Ahli Parlimen Bukit Gelugor dan Jelutong selama 8 penggal, selain pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) di Kedah dan Pulau Pinang untuk empat penggal, bermula dari 1974.

Dalam sejarah perjuangannya menegakkan keadilan selama 40 tahun, Karpal pernah ditahan selama 18 bulan dalam Operasi Lalang, di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 1988.

Kemalangan pada 2005 telah menyebabkan beliau lumpuh dari bahagian pinggang ke kaki. Namun, dengan semangat tidak menyerah kalah, kelumpuhan itu diatasi dan perjuangan bersama DAP untuk membentuk Malaysia yang lebih baik diteruskan.

“Tiada penindasan mampu membuatkan Karpal lari daripada perjuangan membentuk negara untuk bangsa Malaysia tanpa mengira kaum dan agama,” tegas Guan Eng. – Roketkini.com