Rencana

Nota hormat buat Karpal – Alan Ling

Tidak ada kata-kata yang boleh menggambarkan betapa terkejutnya saya saat mendapat berita pemergian tragis Karpal Singh pada pagi ini. Kematiannya dengan cara sebegitu tidak boleh diterima dan saya merayu supaya siasatan sepenuhnya dijalankan bagi mengetahui sebab kejadian.

Saya teringat waktu yang saya habiskan sewaktu mengikuti latihan dalam kamar di pejabatnya di Jalan Pudu, Kuala Lumpur di mana saya bertuah kerana mempunyai beliau sebagai ‘master’ dan mentor saya. Semua orang menyangkakan yang beliau adalah seorang yang serius dengan perawakan yang bengis, terutamanya dengan janggutnya yang putih serta kerjaya guaman dan politiknya yang begitu hebat, sehingga digelar ‘Harimau Jelutong’ kerana sosoknya yang lantang menyuarakan kebenaran tanpa rasa takut atau berpihak.

Ya benar, itu ciri yang paling menonjol; namun kegerunan saya terhadapnya kian menghilang setelah saya mendapati beliau sebenarnya seorang yang lemah lembut dan baik tutur kata.

Saya telah melihat sendiri bagaimana beliau mencurahkan jiwa raganya kepada kerjayanya sebagai peguam. Saya amat kagum dengan beliau yang tidak pernah lemah semangat untuk berkhidmat kepada rakyat meski berdepan kendala terpaksa bergerak menggunakan kerusi roda. Acapkali beliau akan meninggalkan Kuala Lumpur untuk pergi ke Pulau Pinang pada hari Jumaat selepas berjumpa klien sehingga lewat malam hanya supaya beliau dapat memberi khidmat kepada kawasan parlimennya.

Sewaktu saya meninggalkan firmanya untuk pulang ke Sarawak, kakitangannya mengaturkan suatu majlis ringkas lewat suatu malam, selepas beliau selesai mesyuarat dengan semua kliennya. Beliau memotong kek bersama saya dan teman-teman, mengucapkan selamat untuk kerjaya masa depan dan kemudian bergurau bahawa mungkin saya akan menjadi Ahli Parlimen Miri seterusnya, siapa tahu. Itulah sekali beliau bercakap tentang politik dengan saya. Dan saya pun tak ambil serius waktu itu. Mungkin sudah takdir saya menyertai DAP dan terlibat dalam politik kemudiannya.

Sebaik sahaja beliau mengetahui bahawa saya akan bertanding dalam pilihanraya negeri, saya dapat rasakan beliau bangga sekali memberitahu kawan-kawan di dalam parti bahawa saya dahulu dari firma guaman beliau, dan beliaulah ‘master’ yang menjadikan saya peguam bertauliah di Mahkamah Tinggi Malaya. Semuanya seakan satu kebetulan; 16 April adalah tahun ketiga saya menjadi seorang wakil rakyat dan tidak sampai sejam setengah kemudian, Karpal meninggal dunia dalam suatu kemalangan.

Ramai rakyat Miri melihat Karpal buat pertama kalinya dalam ceramah kempen saya di Waterfront Commercial Centre. Banyak antara mereka tidak sedar betapa jenuhnya perjalanan beliau untuk datang dari jauh dengan menaiki kapal terbang. Kami malah mesti mencari kereta yang sesuai untuk menjemput beliau di lapangan terbang. Tetapi disebabkan hubungan kami, beliau tetap datang membantu kempen saya. Kehadirannya pada malam itu menerima tepukan gemuruh daripada orang ramai, terutamanya sewaktu para sukarelawan mengusung kerusi rodanya naik ke atas pentas. Selepas saya memenangi pilihanraya tersebut, beliau menghantar faks mengucapkan tahniah.

Sewaktu majlis perkahwinan saya 18 Disember 2012, beliau berjanji mahu datang tetapi tidak berkesempatan kerana komitmen saat akhir. Namun beliau tetap ingat dan mengaturkan supaya jambangan bunga dihantar ke majlis saya malam itu. Itu amat memeranjatkan saya.

Pemergian beliau adalah suatu kehilangan besar kepada negara. Amat sedih mengingatkan yang beliau tidak akan melihat perubahan kerajaan demi Malaysia yang lebih baik, namun kita sedar bahawa beliau akan tetap merestui kita semua dari jauh dalam usaha kita yang penuh bermakna ini.

Dalam hal ini, saya juga mesti mengucapkan takziah buat pembantunya yang juga merupakan sahabat baik saya, Michael Cornelius, dari India. Beliau bekerja tanpa lelah setiap masa di samping ‘Bos’ kami (kami memanggilnya bos, di pejabat), dan kerana khidmatnya menjaga Bos dengan begitu, wajarlah beliau diberikan pengiktirafan.

Selamat jalan buat sosok yang begitu hebat ini. Beliau pastinya akan dirindui oleh rakyat Malaysia dan seluruh dunia yang sentiasa mengharapkan keadilan dan demokrasi.

*Alan Ling Sie Kiong ialah Ahli Dewan Undangan Negeri Piasau, Sarawak. – Roketkini.com