Berita

Seluruh negara bersedih dengan pemergian Karpal Singh

SHAH ALAM, 17 APR: Seluruh negara bersedih dengan pemergian ahli politik veteran, mantan Pengerusi Kebangsaan DAP Karpal Singh yang terkorban dalam kemalangan jalanraya awal pagi tadi.

Ramai yang rata-rata meluahkan rasa terkejut dan bersedih dengan pemergian beliau di laman sosial Twitter sejak hal itu tersebar di rangkaian tersebut.

Yang paling sayu barangkali Ahli Parlimen Batu Kawan Kasthuri Patto yang menyifatkan kehilangan Karpal seolah-olah kematian seorang lagi ayah baginya.

Kasthuri, anak kepada mendiang P. Patto, menulis di laman twitter bahawa beliau tidak dapat menerima hakikat bahawa Karpal sudah tidak lagi bersamanya.

“Saya telah kehilangan seorang ayah sekali lagi. Saya akan merindui kamu ‘uncle’,” tulis beliau.

Speaker Dewan Negeri Selangor Hannah Yeoh pula menulis beliau langsung berasa lemah dan tidak boleh bergerak setelah mendapat berita kematian Karpal serta mengucapkan takziah kepada keluarga beliau.

“Sukar untuk saya senyum hari ini,” katanya ketika dihubungi.

Dewan Negeri Selangor memulakan sidangnya hari ini dengan bertafakur sejenak bagi menghormati pemergian legenda politik Malaysia yang lebih dikenali dengan gelaran ‘Harimau Jelutong’ itu.

Karpal, 73 tahun, disegani kawan dan lawan kerana ketegasannya mempertahankan kebenaran, keadilan dan terutamanya keluhuran Perlembagaan.

Meski ramai yang berbeza pendapat dengannya, Karpal akan sentiasa diingati sebagai seorang pejuang yang teguh berprinsip dan tidak akan berganjak daripada apa yang dipercayainya sebagai kebenaran.

“Baru terbaca mngenai kematian YB Karpal. Negara khilangan seorang pejuang yg tegas dan berani. Berbeza tetapi hormat. Takziah buat keluarga,” tulis Ahli Parlimen PAS Shah Alam, Khalid Samad.

Begitu juga dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang menulis di Twitter sebaik tiba di Ankara, Turki, “I have just landed at Ankara when I heard the news that YB Karpal Singh died in a road accident. My condolences to the family.” (Saya baru sahaja tiba di Ankara apabila mendapat berita bahawa YB Karpal Singh terkorban dalam nahas jalanraya. Takziah buat keluarga beliau)

Bagi dunia guaman, kehilangan Karpal membentuk suatu kelompangan yang tidak mungkin dapat diisi.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang pernah menjadi anak guam Karpal menyifatkan kehilangan beliau sebagai kehilangan besar kepada perjuangan menuntut keadilan.

“Kami kehilangan sahabat; pejuang gigih keadilan Karpal Singh. Kami berbicara panjang melalui talipon jam 630 ptg semlm. Takziah buat keluarga,” tulisnya di Twitter.

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang sedikit puitis dalam kicauan Twitternya. Beliau yang dalam perjalanan pulang dari menjelajah wilayah Esomm di perairan Semporna, Sabah berkata beliau selamat dalam perjalanannya, namun tidak Karpal.

“Saya selamat dalam kunjungan ke Semporna, tetapi tidak Karpal dalam perjalanannya. Seluruh Malaysia menangisi pemergian Karpal. Negara kehilangan seorang anak bangsa Malaysia yang hebat,” tulis Kit Siang.

Sehingga saat ini ucapan takziah dan kata-kata semangat untuk keluarga mendiang Karpal dan juga pendokong parti DAP masih lagi membanjiri laman-laman rangkaian sosial.

Karpal Singh meninggal dunia dalam satu kemalangan di kilometer 301.6 Lebuhraya Utara Selatan arah utara. Kenderaannya merempuh sebuah lori yang cuba menukar laluan tanpa memberi isyarat.

Karpal dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang untuk menghadiri satu kes mahkamah. Pembantunya, Michael Cornelius, turut terkorban manakala anaknya, Ram Karpal, dilaporkan cedera. – Roketkini.com