Rencana

Karpal sebagai bapa Oleh Azmi Sharom

Sejak mula kenal politik saya telah mendengar nama Karpal Singh. Ketika masih kecil, saya membayangkan beliau dalam rupa yang lucu, berasaskan kartun Lat.

Salah satu kartun Karpal yang saya gemari menampilkan beliau bertubuh besar, berpakaian peguam yang lengkap, memegang kukur kelapa dengan sebelah tangan yang luar biasa sasa, sambil satu tangan lagi menuding kepada tertuduh yang serba ‘kemereh’.

Seorang lelaki lain mengganggu proses soal jawab ini, berbisik kepada Karpal bahawa Lim Kit Siang sedang menunggu di kantin mahkamah untuk bermesyuarat tentang parti.

Setelah semakin dewasa barulah saya sedar bahawa Karpal bukan sekadar seorang musuh bagi Samy Vellu.

Beliau memperjuangkan perkara-perkara yang amat penting bagi saya dan banyak rakyat Malaysia yang lain – kedaulatan undang-undang, semangat keperlembagaan, demokrasi, hak asasi manusia dan keadilan sosial.

Tiada kata yang mencukupi untuk menggambarkan kepentingan Karpal Singh dalam dunia politik dan perundangan Malaysia.

Keberanian Karpal, kejujuran, serta keteguhan dan kemuliaan peribadi beliau telah dicatat dalam media oleh banyak orang yang lebih mengenali beliau.

Saya cuma ingin menambah tentang satu perkara yang nampaknya belum disebut – ini mungkin tidak disengajakan, tetapi kerana beliau dipandang begitu tinggi sehingga orang terlupa untuk menyentuh tentang perkara-perkara lebih sederhana.

Saya ke sekolah yang sama dengan dua orang anak Karpal. Mereka masih kawan baik saya.

Selama saya kenal mereka, tidak pernah mereka menyebut nama bapa mereka tanpa rasa bangga dan tanpa penuh kasih-sayang.

Padahal, sebagai seorang yang sentiasa sibuk, tidak mungkin Karpal mempunyai banyak waktu di rumah. Namun, walaupun banyak masa beliau luangkan untuk memenuhi tuntutan dunia guaman dan politik, anak-anaknya tetap mencintainya. Selain kejayaan dalam bidang politik dan perundangan, kasih-sayang antara anak dan bapa ini juga adalah bukti kehebatan Karpal.

Damailah di sana, Karpal. Anda akan sangat dirindui. – Rencana asal “Above all, Karpal was a great Father”, terbitan The Malaysianinsider.com