Rencana

Riwayat seorang harimau (bahagian II) – Al-Mustaqeem M Radhi

Tulisan ini dikarang pada tahun 2012 untuk tujuan penerbitan dalam buku “Pantang Undur”, sempena ulangtahun ke-70 Karpal Singh. Entah bagaimana, makalah ini tercicir daripada penerbitan buku tersebut dan baru hanya disedari pada hari ini, 17 April, hari Sang Harimau meninggal dunia. Kini ia diterbitkan buat pertama kali dalam Roketkini menurut edisi asal tanpa sebarang penambahan atau suntingan.

==

Zaman Muda

Sebagai peguam yang membuatkan saksi-saksi menggigil sebelum sempat dia membuka mulut dan sebagai salah seorang ahli perundangan paling pintar dalam negara, Karpal rupa-rupanya telah menghabiskan masa yang lama untuk menamatkan pengajian.

“Saya mengambil masa tujuh tahun untuk menamatkan pengajian. Semakin lama kita mengetuk besi, semakin ia kuat … itu alasan saya kerana mengambil masa lama! Sebenarnya saya banyak bermain dulu, tak hadir kuliah dan sebagainya.

Di tahun akhir pengajian, hanya Karpal seorang yang gagal, lalu dekannya, Tommy Koh, mengarahkannya duduk di depan kelas bersamanya. “Jadi saya tak boleh berlagak bodoh lagi, lalu saya lulus periksa!”

Melihat gambar-gambar Karpal sewaktu muda, dia berserban. Dalam wawancaranya dengan Martin Vengadesan untuk akhbar The Star, Karpal mendedahkan bahawa dia berserban sehingga tahun 1970. “Malah, pada tahun 1969, di Pulau Pinang, saya telah bersedia untuk memotong rambut dan saya telah pun duduk di atas kerusi tukang gunting menunggu giliran saya ketika saya melihat ke luar tingkap dan melihat ayah saya berbasikal berhampiran kedai itu! Saya lari keluar.

“Tahun berikutnya, saya berada di Alor Setar. Cuaca di musim menuai panas. Saya baru saja memulakan kerja guaman. Banyak masa diambil untuk membasuh rambut dan membalut serban. Saya memutuskan untuk melakukan sesuatu.

Pada suatu hari Karpal membuat keputusan sukar. Ketika bersendirian dalam biliknya, berjalan bolak-balik sambil menimbang-nimbang keputusannya, dia akhirnya mengikat rambutnya dan memotong bahagian ekor rambut. “Setelah itu saya ke sebuah kedai gunting untuk mendapatkan guntingan yang betul.”

Selesai satu bab. Seterusnya dia perlu berdepan dengan ibu-bapa. Dia memakai serban sewaktu pulang, tetapi ibunya terperasan setelah melihat kepalanya dari belakang. Ibunya mula menangis dan meraung. “Kamu memalukan keluarga!” katanya.

Dia bernasib baik kerana ayahnya ada. “Tenang-tenang saja, orang perempuan memang suka buat kecoh.” Ayahnya menasihatkan Karpal untuk terus memakai serban untuk beberapa lama lagi sehingga ibunya terbiasa dengan langkah yang mahu diambilnya. “Saya memakai serban untuk setahun lagi sebelum membuangnya terus. Tapi untuk majlis-majlis istimewa, seperti perkahwinan anak-anak saya, saya pakai serban.”

Buah Hati Pengarang Jantung

Pada tahun 1945 di Philadelphia, Meryll Frost, pemain quarterback bolasepak Amerika, telah dipilih sebagai “Most Courageous Athlete of the Year”. Beberapa tahun sebelum itu Meryll telah terlibat dalam suatu kemalangan maut yang menyebabkan bahagian atas tubuhnya, termasuk leher dan kepalanya melecur teruk. Setelah pulih, dia kembali dan bermain dengan cemerlang untuk pasukannya. Sewaktu menerima pialanya, pemain asal Kanada itu berkata, “Kata orang di sebalik setiap lelaki hebat ada seorang wanita hebat. Saya bukan seorang lelaki hebat, tetapi di belakang saya ada seorang wanita hebat.”

Kata-kata itu, konon pertama kalinya dicetak dalam akhbar di Texas, The Port Arthur News, pada Februari 1946, amat sajak untuk menggambarkan peranan Gurmit Kaur dalam kehidupan Karpal Singh.

Pasangan ini telah bersama sejak lebih 40 tahun lalu. Namun, seperti yang didedahkan dalam akhbar The Star pada September 2006, kisah pertemuan mereka telah bermula jauh lebih lama sebelum itu, iaitu sejak Gurmit bertemu dengan Karpal yang sedang membantu ayahnya mengembala lembu di Thean Teik, sebuah kawasan mundur di Pulau Pinang ketika itu. Bagaimanapun di waktu itu mereka hanya berkawan—Gurmit baru berusia lapan tahun dan Karpal enam belas.

Ibu bapa Gurmit berhijrah ke Narathiwat, di selatan Thailand, dari Punjab, India, pada tahun 1930an. Di sana Gurmit dilahirkan. Sewaktu umurnya tujuh tahun, keluarga mereka berhijrah pula ke Pulau Pinang dan menetap di Kampung Melayu, Air Hitam. Manakala Karpal pula ketika itu tinggal di MacAlister Road.

Karpal menjadi kawan baik bagi abang-abang Gurmit, menjadikannya “adik kecil” mereka.

Menurut Gurmit, mereka berkawan selama sepuluh tahun tanpa memikirkan tentang hubungan selain itu. “Hanya setelah saya tamat Tingkatan Lima dan Karpal kembali dari Singapura untuk membuat chambering barulah terasa ada kelainan.”

“Dia telah lama memerhatikan saya, tetapi saya terlalu muda untuk menyedarinya.

Karpal rupa-rupanya telah lama memasang mata. Dia kadang-kadang duduk di hentian bas menunggu Gurmit keluar dari sekolah. Di perpustakaan yang sering dikunjungi Gurmit pula, Karpal diam-diam duduk di suatu sudut.

Gurmit mengagumi Karpal yang tidak mendekatinya sehinggalah dia cukup dewasa untuk memahami soal perhubungan antara lelaki dan wanita. Setelah Gurmit tamat sekolah, Karpal mendekatinya. “Dia berkata, kurang lebih: ‘Boleh aku berjumpa dengan ayah kamu? Sebab saya mahu mengahwini kamu!’ Itu dia Karpal. Dia mahu mendapatkan persetujuan ibu-bapa saya sebelum kami terus berkawan.”

Selama Gurmit menempuh pendidikan A-Level, mereka bertemu untuk minum kopi, bertukar-tukar hadiah harijadi dan ‘bercintan-cintun’. Perpustakaan Pulau Pinang sering menjadi tempat mereka ber-dating.

“Apabila dia datang meminta restu ayah saya untuk perkahwinan kami, ayah saya berkata kepadanya, ‘Tak ada orang lebih baik daripada kamu yang aku boleh dapatkan untuk anakku, tak ada menantu lebih baik yang aku mahukan.’ Karpal selalu mengulang-sebut kata-kata ini kepada saya!”

Mereka berkahwin pada tahun yang sama Karpal menubuhkan firma guamannya sendiri dan menyertai DAP, pada tahun 1970. Tidak lama kemudian mereka menerima cahaya mata pertama Jagdeep, diikuti oleh Gobind, Ram, Sangeet dan Mankarpal.

Pasangan ini telah bersama-sama mengharung banyak kejayaan dan juga kepahitan. Antara yang paling memeritkan ialah kemalangan yang menimpa Karpal beberapa tahun lalu dan juga sewaktu dia ditahan di bawah ISA pada tahun 1987.

Beberapa bulan sebelum Karpal ditahan di bawah ISA, Gurmit melahirkan anak bongsu mereka. Man Karpal, satu-satunya anak Karpal yang tidak memasuki bidang guaman, pada awalnya dinamakan Karpal Singh, Jr. kerana dia dilahirkan pada tarikh yang sama dengan ulangtahun harijadi Karpal yang ke-47.

“Ketika itu banyak orang bercakap-cakap di kuil Sikh. Kata mereka tidak boleh ada dua harimau, sebab yang satu akan membaham yang lain. Setelah dibebaskan, saya dapati namanya telah diubah menjadi Man Karpal!” cerita Karpal.

Penahanan Karpal di bawah ISA memberi kesan besar kepada Gurmit. Ketika itu anak-anak mereka masih kecil dan beberapa orang daripada mereka sedang bersiap untuk menghadapi peperiksaan di hujung tahun. “Saya terpaksa tabah agar beban kami tidak [hanya] ditanggung olehnya,” ujar Gurmit.

Tidak banyak orang tahu, salah satu hobi Karpal ialah melukis kartun-kartun kecil. Dia suka membuat kad ucapan harijadi untuk semua anaknya. Setiap satunya mengandungi cerita dan lukisan tangannya sendiri.

Karpal sedang ditahan di bawah ISA ketika harijadi Gurmit pada 10 Mei 1987. Pada hari itu Gurmt merasa sedih dan kehilangan arah. Lalu dia ke pejabat Karpal. Tiba-tiba salah seorang pembantu pejabat meluru masuk pejabat dan memberitahu bahawa ada kiriman untuknya daripada Karpal.

Dalam sampul itu ada sekeping kad kecil yang dilakar dengan lukisan. Ucapan pada kad itu bermula dengan “To my girl in blue…”

“Saya mempunyai sehelai baju warna biru yang cantik ketika saya berumur sembilan atau sepuluh tahun yang saya pakai ke mana-mana. Dia masih mengingatinya!”

Bagi Gurmit, itulah perkara paling manis pernah dilakukan Karpal untuknya, “hanya untuk memberitahu bahawa dia masih ada dan bahawa dia mencintai saya! Saya tak tahu bagaimana dia berjaya mempastikan kad itu dihantar pada masa yang tepat,” ujar Gurmit. Kad itu disimpan dan dibingkaikannya. – Roketkini.com