Rencana

Eulogi Guan Eng untuk Karpal

Ketika saya di rumah, di Pulau Pinang, pada jam empat pagi 17 April 2014, menunggu pemandu untuk membawa saya ke Hospital Ipoh, saya masih dalam keadaan bingung ekoran berita mengejutkan yang disampaikan adik perempuan saya Hui Ying kepada isteri saya Betty sejam sebelumnya. Saya tidur awal semalam kerana kurang sihat, dan masih pening-pening lalat ketika kata-kata isteri saya masuk ke telinga.

Pengerusi Kebangsaan DAP Karpal, tokoh yang amat bermakna buat kita, sudah tiada. Lelaki hebat yang sentiasa bersemangat dan bertenaga itu telah tiada. Pemimpin yang menyuntik cukup banyak kekuatan, wawasan, dan panduan sudah pergi meninggalkan kita. Sahabat sejati di hari-hari paling gelap buat kita, sama ada sewaktu kita terperosok dalam penjara atau sedang berduka dengan kekalahan pilihanraya telah pergi. Seorang bapa yang penyayang, lebih-lebih lagi seorang suami yang pengasih, tanpa dijangka meninggal dunia pada awal pagi 17 April 2014 yang diiringi hujan.

Ketika pesanan dan kicauan twitter mencurah masuk ke telefon, fikiran saya berserakan dan saya gagal mencari kata-kata untuk menggambarkan rasa kehilangan yang amat sangat. Pimpinan DAP tersentak kerana ia berlaku secara mengejut dan tidak dijangka. Karpal pergi sebelum waktunya, ketika masih banyak yang boleh beliau sumbangkan.

LGE KSSaya akan merindui keceriaan suara Karpal, sikap optimisme yang hadir daripada melakukan perkara yang betul dan semangat melawan tanpa mengira betapa sukarnya halangan. Namun saya masih dapat mendengar suaranya – tidak tergugat dan berterus-terang, dengan rasa kemanusiaan yang mendalam.

Karpal adalah seorang daripada segelintir manusia yang berani menyatakan apa yang difikirkannya, dihormati baik oleh rakan mahu pun musuh. Beliau seperti tidak kenal erti takut. Malah, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin secara peribadi memberitahu isteri Karpal, Puan Gurmit Kaur, ketika memberikan penghormatan terakhir bahawa “tolak ke tepi politik, Karpal adalah seorang manusia hebat dan sangat berani.” Memang, Karpal tidak takut untuk menyinggung sesiapa, tidak kira betapa tinggi dan kuat, betapa kaya dan berkuasa seseorang itu, jika dia yakin bahawa dia berada di pihak yang benar. Karpal juga mudah memaafkan sesiapa yang tidak dapat mencapai piawaiannya yang tinggi dan ketat, namun beliau tidak pernah lupa.

Beliau adalah contoh peguam yang berpegang teguh dengan prinsip asas bahawa semua orang mempunyai hak untuk mendapat perbicaraan yang adil dan pembelaan. Sebab itulah beliau lebih daripada sanggup untuk menjadi peguam bela kepada bekas musuhnya sendiri yang menjadi mangsa ketidakadilan. Memang benar, tiada musuh atau kawan yang tetap dalam politik, yang tetap hanya prinsip.

Ketika kami berkongsi bilik dalam Kem Tahanan Kamunting pada tahun 1987-88, sewaktu ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan ketika melawat saya di Penjara Kajang yang suram pada 1998-99 ekoran hukuman di bawah Akta Hasutan, Karpal berpesan kepada saya tentang kepentingan membezakan antara golongan yang benar-benar yakin dengan perjuangan dan golongan yang tidak ikhlas.

Golongan yang benar-benar yakin dengan perjuangan akan mempasakkan keyakinan di atas asas “benar” dan “salah”. Golongan ini tidak mungkin dapat dipesongkan dan akan terus melawan walaupun sudah tiada harapan – kerana bagi mereka perlawanan itu adalah satu kewajipan. Mereka meneruskan perjuangan kerana, sebagai manusia, mereka tiada pilihan lain selain melaksanakannya. Tiada makna untuk hidup sambil membiarkan ketidakadilan dan kerosakan berlaku.

Beliau tidak pernah takut akan kekalahan. Karpal pernah memberitahu saya bahawa bagus untuk sesekali kalah, kerana ia akan menguatkan jiwa anda seperti besi waja dan anda akan belajar untuk bangkit kembali dengan bingkas. “Saya pernah kalah dalam pertembungan pilihanraya, begitu juga dengan Kit Siang, dan kami masih lagi di sini,” pesannya kepada saya dengan mata yang mengerdipkan sinar. Bagi Karpal, kekalahan hanyalah ujian terhadap kecekalan anda, untuk melihat setangkas mana anda akan bangun semula.

Karpal enggan mengaku kalah, meski pun tubuh menjadi penghalang ekoran kemalangan jalanraya di luar rumahnya di Pulau Pinang, pada tahun 2005. Beliau tidak membiarkan tubuh yang lumpuh membekukan suaranya, sebaliknya mengerah minda perundangannya yang cerdas itu untuk memperbaiki undang-undang dan membetulkan kecacatan.

Seperti yang biasanya dialami oleh orang lain yang pernah sama-sama mendekam dalam penjara, hubungan kami menjadi rapat ketika menghuni Kem Tahanan Kamunting, selain pada tahun-tahun berikutnya. Saya belajar daripadanya, dipandu oleh kebijaksanaannya dan disegarkan oleh semangat wajanya. Kami berkongsi dugaan yang sama, sama ada dakwaan di bawah ISA atau Akta Hasutan. Dan memang, itu hanya menjadikan kami lebih kuat dan bersemangat.

Seperti bapa saya yang beliau anggap sebagai saudaranya sendiri dan seperti teman-teman setia seperti Dr Chen Man Hin, mendiang P Patto, dan Datuk Chian Heng Kai, Karpal amat sayang pada DAP. Keyakinan dan kepercayaannya terhadap Kit Siang dan Dr. Chen menjadi asas untuk parti ini kembali bangkit dari abu kekalahan.

Tiga serangkai DAP, iaitu Kit Siang, Karpal, dan Chen tidak akan sesekali tunduk dan menyerah kepada regim kuku besi dan korup. Mereka sanggup rebah selaku manusia yang bermaruah; mereka memilih kehidupan yang susah di atas kaki sendiri daripada kehidupan yang senang dalam keadaan menyembah.

Saya akan merindui anda, Karpal. Saya berbesar hati untuk menjadi sekutu anda. Malaysia juga akan merindui Karpal, menyanjung seorang pahlawan unggul yang telah membuatkan setiap rakyat bangga dengan negaranya, serta memberikan harapan kepada mereka yang terpinggir, kurang bernasib baik, lemah, tidak terbela dan tiada suara.

Warisan anda yang teragung bukanlah penghormatan yang dicurahkan oleh para pemimpin atau personaliti terkenal dari dalam dan luar negara. Kami lebih tersentuh dengan sekian banyak air mata yang ditumpahkan rakyat biasa yang tidak mengenali anda secara peribadi dan tidak pula pernah anda temui, namun tetap mereka tersentuh dengan segala pengorbanan yang telah anda lakukan.

Bersemadilah dengan aman – itu yang layak buat anda setelah segala yang telah anda sumbangkan kepada parti, rakyat dan negara. – Roketkini.com