Rencana

Penghormatan buat Karpal Singh daripada St Xavier’s Institution oleh Dr Francis Loh Kok Wah

Lembaga Pengarah dan Pengurusan St Xavier’s Institution, Pulau Pinang, bersimpati atas kematian salah seorang pelajar termasyhur sekolah kita.

Semoga pelajar-pelajar kita dapat contohi khidmat dan dedikasi Karpal untuk Malaysia dan kepada masyarakat tak kira agama dan bangsa.

Kami, Lembaga Pengarah dan Pengurusan St Xavier’s Institution dan cawangan SK St Xavier bersedih mendengar berita kematian YB Karpal Singh.

YB Karpal tak dapat disangkal adalah seorang tokoh yang menjadi kebanggaan rakyat Malaysia. Beliau digelar ‘Harimau Jelutong’, sejak beliau berulang-kali dipilih ke Parlimen, sebelum bertanding dan mewakili Bukit Gelugor – kedua-duanya kawasan dalam Pulau Pinang.

YB Karpal adalah seorang peguam yang terkenal dengan kelantangan. Karpal lantang membantah penubuhan undang-undang yang tidak adil, di dalam dan di luar Parlimen. Beliau juga menentang dasar-dasar yang mendiskriminasi rakyat bawahan serta minoriti yang mengamalkan kronisme dan ektrimis agama atau kaum. Beliau mengecam penyalahgunaan undang-undang yang menutup kebebasan bersuara, aktivis dan pemimpin pembangkang.

Kelantangan ini menjadikan beliau antara mereka yang ditahan tanpa bicara di bawah ISA semasa Operasi Lalang 1987. Beliau dihormati bukan sahaja di kalangan mereka yang cintakan kebebasan dan keadilan, malah oleh semua rakyat Malaysia dari pelbagai kaum dan agama termasuk pemimpin-pemimpin politik, pakar perundangan dan badan hak asasi manusia antarabangsa. Beliau amat bangga dengan partinya, Parti Tindakan Demokratik (DAP), dan berkhidmat sepenuhnya sebagai Pengerusi DAP.

Namun YB Karpal tidak pernah lupa asal-asulnya. Pada tahun 2009, beliau menjadi tetamu kehormat di hari ucapan tahunan St Xavier’s Institution (SXI). Pada tahun 2011, beliau hadir ke SXI untuk bercakap pada majlis pelancaran memoir bertajuk ‘The Man from Borneo’ yang ditulis oleh bekas gurunya, Rev Bro Datuk Michael Jacques FSC.

Pada tahun 2012, beliau sempat meluangkan masa ke Majlis Makan Malam sempena Ulang Tahun ke-160 penubuhan SXI dan pada tahun yang sama, Karpal sekali lagi hadir untuk memberi penghormatan dan mengucapkan selamat tinggal kepada pengarah yang paling lama berkhidmat di SXI iaitu Rev Bro Datuk Charles Levin FSC. Sesungguhnya, Karpal jugalah yang telah mencalonkan Charles Levin untuk mendapat gelaran Datuk dari Kerajaan Negeri Pulau Pinang. Beliau juga telah memberikan pelbagai bantuan derma kepada SXI.

Dan sekarang, kami bersedih dengan pemergian YB Karpal Singh. Tidak syak lagi, beliau telah menyerap banyak nilai-nilai La Salle, paling tidak keprihatinan kami terhadap golongan terpinggir dan kurang bernasib baik. Kematian Karpal adalah satu kehilangan besar bagi negara, Parlimen, parti, perjuangan demokratik dan untuk sekolah St Xavier.

Semoga pelajar kita dan seluruh anak muda Malaysia belajar daripada kasih, khidmat dan dedikasi Karpal kepada negara dan rakyat semua agama dan kaum.

Berehatlah dengan aman, tuan. Rahmat dan Ketenangan daripada Tuhan buat anda, keluarga dan rakan-rakan di saat yang menyedihkan ini.

Dr Francis Loh Kok Wah adalah Pengerusi Lembaga Pengarah St Xavier’s Institution, Lembaga Pengurusan SK St Xavier dan Cawangan SK St Xavier.