Berita

Inspirasi dan semangat Karpal perlu dicontohi semua rakyat – Lim Guan Eng

GEORGE TOWN, 20 APRIL: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng hari ini mengajak orang ramai supaya memuliakan pemergian Karpal Singh dengan meraikan pencapaian dan merealisasikan aspirasi beliau mengenai keadilan, integriti dan kebebasan.

Menurutnya, semangat juang yang tidak pernah luntur ‘Harimau Jelutong’ itu mempertahankan ketidakadilan dan hak-hak setiap warga walau dihalangi oleh masalah fizikal perlu dicontohi.

“Anda boleh menghalang fizikalnya, tapi tidak semangatnya. Saya melihat sendiri semasa sama-sama ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di Kem Kamunting pada 1988, beliau mengalami sakit belakang yang teruk tetapi tetap enggan mengalah.

“Kecekalan dan kekuatan beliau sekali lagi teruji apabila mengalami kemalangan pada 2005 yang menyebabkannya lumpuh dari pinggang ke bawah.

“Namun kelumpuhan itu berjaya diatasi apabila beliau tetap meneruskan kerjayanya dalam bidang undang-undang dan politik. Karpal kemudian menjadi orang kurang upaya pertama di Malaysia yang dua kali dipilih ke Parlimen, kedua-duanya dengan majoriti sangat besar,” katanya ketika menyampaikan ucapan sempena Majlis Penghormatan Negeri untuk mendiang Karpal di Dewan Sri Pulau Pinang.

Setiausaha Agung DAP itu turut menyatakan, seperkara lagi yang meninggalkan kesan amat besar dari mantan Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu adalah prinsip utuhnya untuk membantu semua golongan.

“Beliau enggan mengenakan bayaran bagi kes-kes ketidakadilan tidak kira individu itu orang kenamaan seperti Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang atau Melayu miskin, India dan Cina.

“Oleh kerana itu, pemergiannya akan meninggalkan kekosongan besar bukan sahaja dalam kehidupan keluarganya, tetapi kepada semua rakyat Malaysia yang terinspirasi dengan prinsip Karpal.

“Thomas Jefferson berkata apabila kerajaan takut kepada rakyat, wujudlah kebebasan; apabila rakyat takut kerajaan, wujudlah kezaliman. Sepanjang hayatnya, Karpal menunjukkan kepada kita semua bagaimana untuk tidak takut pada kerajaan,” ujar Guan Eng. -Roketkini.com