Berita

Hudud bukan agenda PR, DAP tetap tegas pendirian

KUALA LUMPUR, 21 APR: DAP bertegas tidak bersetuju dengan pelaksanaan hudud yang bukan merupakan pendirian bersama yang disepakati dalam Pakatan Rakyat (PR) sejak dari dulu.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata, dasar bersama PR serta manifesto pilihanraya 2008 dan 2013 jelas tidak memuatkan pelaksanaan hudud atau penubuhan negara Islam dan ia telah dipersetujui oleh ketiga-tiga parti.

“Mesti ada konsensus ketiga-tiga parti dalam hal dasar. Memandangkan DAP tidak menyokong hudud, isu sokongan PR terhadapnya tidak berbangkit.

Menurut beliau, setiap parti dalam PR berhak memperjuangkan matlamat masing-masing menurut kerangka demokrasi, namun “Keutamaan dan fokus harus diberikan kepada dasar bersama PR yang telah dipersetujui ketiga-tiga parti seperti membanteras rasuah, memastikan urus tadbir baik, mewujudkan kedaulatan undang-undang dan keadilan, memastikan kemakmuran ekonomi dikongsi secara saksama dan tidak hanya dinikmati kroni.”

Ahli Parlimen DAP Bagan itu menyatakan bahawa beliau sendiri telah meminta penjelasan daripada Datuk Seri Anwar Ibrahim berkenaan kenyataan beliau yang dilaporkan oleh The Malaysia Insider hari ini dan Ketua Pembangkang itu menegaskan pendirian PR untuk memberi keutamaan kepada dasar-dasar yang telah dipersetujui bersama.

Laporan berkenaan memetik Anwar sebagai berkata bahawa model dan pelaksanaan hudud yang bakal diguna pakai kerajaan negeri Kelantan perlu difahami terlebih dahulu sebelum PR mengambil keputusan bersama untuk mempersetujuinya. -Roketkini.com