Berita

Karpal Singh: Namanya meniti di bibir anak muda

GEORGE TOWN, 21 APR: Walaupun sudah meninggal dunia, nama Karpal Singh akan terus dikenang oleh generasi akan datang – sama ada kehebatannya di mahkamah mahu pun keteguhannya di arena politik.

Ia dapat dilihat melalui ribuan anak muda yang hadir ke Dewan Sri Pinang di sini pagi tadi untuk memberikan penghormatan terakhir kepada beliau.

image (1)Bagi Muhammad Suhaib, mantan Pengerusi DAP Kebangsaan itu adalah model terbaik untuk dicontohi anak muda yang ingin melibatkan diri dalam politik.

“Karpal ahli politik yang sangat dihormati kerana kuat berpegang pada prinsip. Sikap itu perlu diikuti oleh politikus muda sekarang,” kata penuntut jurusan Komunikasi di Universiti Sains Malaysia itu.

Beliau juga menyifatkan pemergian Karpal sebagai kehilangan besar kepada negara, khususnya Pulau Pinang.

“Ini kehilangan besar buat Pulau Pinang. Perjuangannya sangat memberi kesan kepada orang di sini, seperti seorang ayah,” katanya lagi.

image (2)Bagi penuntut jurusan undang-undang Jespreet Kaur pula, Karpal menjadi idola kepada anak-anak muda yang ingin menceburkan diri dalam bidang itu.

“Beliau sememangnya sumber inspirasi yang sangat besar. Kami belajar kes-kes yang ditanganinya di dalam kelas.

“Apa yang paling saya kagumi adalah kesungguhannya mempertahankan Perlembagaan Negara. Tidak banyak peguam yang sanggup menggalas tugas itu,” katanya penuh semangat.

Atas sebab itu, beliau dan keluarga sanggup hadir ke sini dari Kuala Lumpur, hanya untuk mengucapkan ‘selamat jalan’ kepada tokoh itu.

Kekaguman yang sama turut terlihat pada penuntut jurusan undang-undang Law Jia Yang.

image“Dirinya cukup luar biasa. Beliau seorang ahli politik yang berkarisma dan peguam yang dihormati,” kata anak jati Pulau Pinang itu.

Katanya lagi, beliau mula mengikuti berita dan perjalanan kerjaya ‘Harimau Jelutong’ pada Pilihan Raya Umum lalu, walaupun sudah lama mendengar nama tokoh itu.

Nama Karpal Singh sememangnya cukup sinonim dalam politik dan perundangan, apabila menjadi Ahli Parlimen selama lebih 30 tahun.

Sebagai peguam, beliau dikenali terlibat dalam kes berprofil tinggi, antaranya kes fitnah liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kes pembunuhan model Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Puluhan ribu memenuhi Dewan Sri Pinang pagi tadi dan kediamannya sejak Jumaat lalu bagi memberikan penghormatan terakhir kepada negarawan itu. – Roketkini.com