Rencana

Karpal dan sikap sebenarnya berkenaan hudud – Dr Mujahid Yusof Rawa

Pepatah yang menyatakan bahawa “harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama” ada pada Karpal Singh. Pertama, secara majazi (perlambangan), ‘Harimau Jelutong’ itu telah meninggalkan belang, kedua, secara hakiki, mendiang meninggalkan nama yang besar sebagai ahli politik yang disegani kawan dan lawan.

Jarang seseorang dapat memenuhi perumpamaan ini secara majazi dan hakiki dalam menggambarkan ketokohan seseorang individu yang meninggalkan kita.

Singh is King

Ungkapan ini pernah dipakai oleh Karpal sesuai dengan ugutan yang diterimanya daripada Pemuda Umno. Saya ada dalam Parlimen semasa mendiang mempertikaikan tindakan beberapa Pemuda Umno yang cuba menghalangnya di Parlimen.

Antara ungkapan lain yang disebut oleh Karpal dalam suasana yang tegang dalam Parlimen semasa itu ialah, “Ini Pemuda Umno celaka!” lalu Yang DiPertua Dewan Rakyat mencelah supaya ditarik balik kata-katanya itu tetapi Karpal enggan.

Setelah didesak beberapa kali Karpal setuju dengan berkata, “Saya tarik balik, tetapi ini Pemuda Umno memang celaka.” Saat itu heboh dewan dengan ketawa daripada anggota dewan.

Karpal memang terkenal dengan perkataan berbisanya seperti “jangan main-main…” apabila beliau ingin mendesak sesuatu tindakan diambil segera. Dialek Indianya dalam berbahasa Melayu seringkali mencuit hati anggota dewan tetapi isi ucapannya senantiasa mendapat perhatian pihak BN kerana sengatannya yang berbisa kepada Ahli Parlimen BN.

Dewan pastinya akan sunyi selepas ini tanpa SINGH IS KING.

Saya dan DAP

Saya mula mengenali  DAP semasa di bangku sekolah menengah lagi melalui poster-poster pilihan raya apabila berlangsung pilihanraya umum. Sebagai anak Pulau Pinang yang membesar di Georgetown lambang DAP tidak menjadi sesuatu yang menakutkan saya walaupun tanggapan saya terhadap DAP semasa di bangku sekolah adalah stereotype sama macam budak Melayu sezaman dengan saya.

Sebagai seorang yang membesar dalam rumah pemimpin PAS, saya sukar menerima pandangan Umno, apatah lagi media yang menyerang PAS setiap hari, tetapi saya juga tidak melihat DAP mempertahankan PAS pada masa itu.

Saya boleh rumuskan bahawa semasa di bangku sekolah saya melihat DAP dari kacamata PAS yang melihat DAP tidak banyak membantu, malah sikap ‘anti-Melayu DAP’ begitu mencengkam dalam benak anak muda Melayu pada zaman saya.

Namun zaman berlalu, saki-baki tanggapan kepada DAP semakin terhakis dengan kematangan berfikir generasi hari ini dan terpulang kepada sejauh mana DAP mampu membuktikan sebaliknya.

Saya yakin kemunculan politik baru Malaysia yang menolak sikap perkauman akan memudahkan lagi orang mengenali DAP.

Karpal dan Saya

Jujurnya, saya terlalu kerdil berbanding ketokohan Karpal dalam dunia politik dan perundangan Malaysia. Ketika Karpal memulakan karier politiknya pada tahun 1974 sebagai ADUN di Kedah, saya baru di tahun 4 sekolah rendah.

Nama Karpal hanya saya kenali semasa di sekolah menengah lewat persepsi saya terhadap DAP. Semasa Kelantan memperkenalkan Undang-Undang Kanun Jenayah Syariah, Karpal antara tokoh yang lantang menentang.

Saya mula berminat untuk mengenali tokoh ini pada tahun 90an dan cuba memahami secara objektif mengapa beliau menentang undang-undang hudud ini. Dari sini saya mula mengenali pemikiran perundangan beliau yang merupakan pengikut tegar kerangka Malaysia sebagai negara sekular.

Pertama Kali Bertemu

Pada tahun 2005, saya telah kembali ke negeri asal saya iaitu Pulau Pinang. Pertama kali saya menemui beliau ialah kunjungan semasa beliau di hospital setelah mengalami musibah. Walaupun saya tak sempat berbicara dengannya kerana keadaaannya, tetapi saya sempat mengucapkan kata-kata semangat kepada isteri beliau bagi mewakili PAS Pusat.

Seterusnya pertemuan saya ialah di bangunan Parlimen setelah dilantik menjadi Ahli Dewan Rakyat, kini saya bersama MP yang lain sebaris dengan MP lama, termasuklah Karpal.

Heboh dewan pada hari pertama mengangkat sumpah apabila MP Kinabatangan mempertikaikan bagaimana Karpal boleh mengangkat sumpah tanpa mengangkat tangannya sedangkan wakil Kinabatangan mengetahui bahawa Karpal mengalami masalah mengangkat tangan.

Berlaku kekecohan dan itu pertama kali kami ditunjukkan bagaimana berbalas kata boleh berlaku di Parlimen Malaysia.

Seterusnya pertemuan saya dengan beliau adalah sebagai ahli Parlimen muda yang cuba mempelajari selok-belok berbahas dalam Parlimen dan saya mendapati perbahasan beliau banyak berlegar di sekitar perundangan dan kehakiman serta pendedahan beliau tentang salahlaku kehakiman yang boleh menjejaskan kredibiliti mahkamah di Malaysia.

Ucapan Karpal

Saya juga mengikuti setiap ucapan politik beliau yang sempat saya dengar. Antaranya ialah ketika saya di Melaka, semasa hubungan PAS dengan DAP berasaskan kepada perjanjian Barisan Alternatif pada hujung 90-an.

Ucapannya selamba tetapi sarat dengan kritikan pedihnya kepada sistem perundangan negara, khusus pada kemuncak kes Anwar Ibrahim ketika itu. Kemudian saya mendengar ucapannya yang lebih serius pada majlis makan malam kemenangan DAP di Pulau Pinang.

Di atas kerusi roda, beliau bersemangat menceritakan intipati perjuangan DAP dan komitmennya pada suasana demokratik dan sekular yang menjadi asas pembentukan negara ini. Ucapannya serius, dengan kata susun atur kalimatnya dikeluarkan satu-satu, disambut tepukan gemuruh hadirin yang masih dalam mood kegembiraan dengan kejayaan PR diterajui DAP menawan Pulau Pinang.

“Saya Tidak Menentang Islam”

Di sebalik tekanan tentang sikap Karpal yang dikatakan anti-hudud dan anti-Negara Islam serta kenyataan kontroversinya “langkah mayat saya dahulu…” Karpal beberapa kali menyatakan bahawa dia tidak  pernah menentang Islam.

Saya sendiri ada dalam Konvensyen Pakatan Rakyat 2010 di Kepala Batas, ketika Karpal di hadapan pemimpin PAS dan PKR dan para peserta konvensyen menyatakan bahawa beliau menghormati Islam sebagai agama rasmi Persekutuan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan beliau tidak pernah menentang Islam sebagai agama rasmi Persekutuan.

Karpal juga pernah menyatakan dalam satu temuramah bahawa, “I’m not opposed to Islam at all, I’m a god fearing man.”

Sikap Karpal yang sering dituduh sebagai anti-Islam kerana keengganan menerima Negara Islam dan hudud menjadikan beliau sebagai sasaran utama kelompok Melayu dari kedua-dua belah pihak UMNO dan PAS atas apa juga perbezaan politik mereka.

Persoalannya ialah, mengapakah Karpal bertindak demikian?

Logik Karpal Tentang Hudud

Karpal adalah ahli undang-undang. Hujah beliau tidak sangat menjurus kepada ideologi menentang penghayatan keagamaan, beliau lebih berminat kepada ideologi perundangan.

Hakikat ini ditegaskan dalam salah satu kenyataannya apabila ditanya mengapa beliau tidak boleh menerima konsep Negara Islam dan hudud.  Beliau menjawab, “My opposition to Islamic State and hudud is to preserve and defend the Constitution…

Memahami logik Karpal dalam hal ini ialah memahami Karpal sebagai orang perundangan dan bukan sebagai seorang yang anti-agama. Mendekati ketegasan beliau dalam hal ini juga ialah dengan menggunakan logik perundangan dan bukan sentimen dan emosi agama.

Bagi saya tidak mudah untuk kita menuduh seseorang sebagai anti-agama Islam hanya kerana asas penolakan Negara Islam dan hudud atas asas perundangan.

Ini adalah kerana, bagi saya, anti-agama adalah terdorong atas kebencian dan permusuhan kepada apa sahaja makna keagamaan, termasuk menolak Islam sebagai agama rasmi Persekutuan.

Kalau begitulah logiknya maka kewujudan Akta Mahkamah Syariah 1965 yang menghalang perlaksanaan hudud di peringkat negeri bolehkah dikatakan sebagai anti-agama Islam?

Adakah Kerajaan Persekutuan di bawah BN yang memerintah dengan PM-nya sebagai seorang Islam sekarang juga anti agama kerana membiarkan sekatan ini berlarutan?

Bagaimana pula seorang Islam yang menolak Negara Islam dan hudud atas alasan ekonomi akan mundur dan pelabur asing akan lari malah ada yang menyatakan ianya tidak relevan lagi dalam dunia hari ini?

Saya bukan mempertahankan Karpal dan sikapnya. Saya cuma mahu memberi keadilan kepada isu Negara Islam dan hudud yang tidak pernah diberi gambarannya yang jelas kerana terlalu ramai yang ada kepentingan dalam hal ini sehingga ia lebih selesa ditanggap sebagai isu politik daripada isu substantif.

Logik Balas

Logik perundangan juga menuntut kita untuk menjawab persoalan apakah Malaysia sebuah negara sekular atau setengah sekular, sedangkan Islam mendapat tempat yang teratas walaupun agama lain bebas diamalkan dengan sekatan tidak boleh disebarkan.

Bagaimana pula halnya senarai negeri-negeri yang antara lainnya memperuntukkan enakmen undang-undang Islam boleh digubal?

Apakah tidak undang-undang Jenayah Syariah II di Kelantan dibuat secara perundangan? Jikalau ia dianggap ultra vires dengan Akta Mahkamah 1965, siapakah yang bertanggungjawab untuk menyemak semula peruntukan?

PAS pernah membawa bil persendirian di Parlimen melalui Presidennya Datuk Seri Hj Hadi Awang untuk isu murtad tetapi tidak pernah diterima untuk dibahaskan.

Logik perundangan inilah yang harus dijadikan landasan meyakinkan para penggubal undang-undang bahawa akhirnya isu sensitif seperti ini perlu mendapat mandat dan proses politiknya perlu mendapat kefahaman rakyat secara substantif.

Sensitiviti isu-isu agama jika hendak diperundangkan – termasuklah hudud – pasti akan mendapat pelbagai reaksi aliran pemikiran politik, namun Rashid Al Ghanushi pernah memberikan kerangka bagaimana isu ini perlu digarap dengan berkata,

No one has the right to claim he represent the religion, neither An Nahda nor anyone else. Society through its dynamic is the one to formulate and translate religion into policies, laws and culture….the dynamic continues until there is consensus about the opinion of religion on the issue…

(Tidak ada sesiapa yang berhak mendakwa bahawa dialah yang mewakili agama, termasuk parti An Nahda atau sesiapa yang lain. Masyarakat melalui dinamikanya yang akan membentuk dan menterjemahkan agama kepada dasar, undang-undang dan budaya…dinamika ini berlangsungan sehinggalah adanya satu konsensus tentang sikap agama berkenaan isu tersebut).

Saya amat bersetuju dengan kerangka pemikiran demokratik yang digarap oleh pemimpin An Nahdah tersebut kerana dengan kerangka ini jugalah kita harus berhujah dengan logik Karpal yang saya tahu diyakini ramai oleh rakan-rakan dalam DAP apabila isu hudud menjadi perbualan hangat sekali lagi mutakhir ini.

Karpal dan PAS

Pemimpin PAS yang sering dikaitkan bertembung dengan Karpal ialah Dato’ Setia Bentara Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, mantan Menteri Besar Kelantan.

Pertembungan mereka ialah kerana konsistennya Mursyidul Am PAS itu mahu menjalankan enakmen Jenayah Syariah yang telah mendapat mandat persetujuannya oleh Sultan Kelantan tetapi terhalang kerana Akta Mahkamah Syariah (1965).

Begitulah juga konsistennya Karpal menentang hasrat ini atas hujah yang dinyatakan di atas tadi.

Namun demikian seluruh negara telah menyaksikan satu pertemuan bersejarah yang penuh mesra antara kedua-kedua pemimpin hebat ini di rumah Karpal apabila Mursyidul Am PAS itu menziarahi Karpal di Pulau Pinang sambil menerima kek harijadinya daripada Karpal pada 27 Jan 2013.

Kedua-duanya bertemu mesra walaupun mereka mempunyai dua pandangan yang bertentangan antara satu sama lain. Sikap keterbukaan Tuan Guru Nik Abdul Aziz lambang komitmen PAS kepada menghormati hak untuk tidak bersetuju walaupun berada dalam satu kolusi politik.

Karpal pula sentiasa bertanggapan positif kepada PAS dan dari kata-katanya sendiri boleh membuktikan sikapnya bahawa,

We may have our differences with PAS but it is a solid principled party and an important ally.”

(Kita mungkin ada beberapa perbezaan pandangan dengan PAS tetapi PAS adalah parti yang berprinsip dan rakan yang penting).

Selamat Tinggal Selamanya

Speaker Dewan Rakyat adalah orang yang akan terasa pemergian Karpal kerana suaranya tidak akan kedengaran lagi mengetuk mikrofon meminta ‘point of order’ dibacakan, khususnya untuk mempertikai ‘ruling’ yang dibuat oleh Tuan Speaker.

Ketajamannya menimbulkan hujah perundangan dalam akta yang dibahaskan dan kritikannya kepada kehakiman di negara ini sentiasa berbisa dan pedas, namun bernas.

Kami MP muda akan hilang seorang senior MP yang membuatkan kawan dan lawan ketawa dan marah ketika beliau berbahas.

Para hakim akan kehilangan peguam yang senantiasa menguji kewibawaan mereka pada tahap maksima.

Ahli DAP akan kehilangan suara semangat yang pernah mengatakan dalam suasana kekalahan DAP di Pulau Pinang satu ketika dahulu, “berhati-hati pada harimau yang tercedera kerana ia lebih berbahaya…”

Masyarakat sivil yang pernah mengenali Karpal tidak akan lupa kata-katanya bahawa, “It is important for every citizens in this country to know that no one is above the law.” Kerana meyakini prinsip moral perundangan ini beliau berhadapan dengan masalah daripada pihak istana.

Bagi seseorang yang tegas dalam dunia politik dan perundangan, Malaysia turut terasa perginya seorang anak Malaysia mempertahankan prinsip Perlembagaan Persekutuan dengan jujur.

Soal salah atau betul beliau mempertahankannya bukan isu, tetapi itulah caranya beliau melahirkan kasihnya pada negara yang tercinta ini.

Sepi seketika hiruk-pikuk suara yang menghentam Harimau Jelutong ini pada awal pagi berita kematiannya secara tragis dimaklumkan seluruh negara.

Harimau tidak mengaum lagi tetapi belangnya meninggalkan bekas seperti namanya. Kata-kata mendiang akan senantiasa terngiang di telinga kawan dan lawannya,

You knock out one Karpal Singh, hundred Karpal will rise”.

Selamat Tinggal Komrad Karpal! – Roketkini.com