Berita

DAP anjur Malam Kenangan Karpal Singh di KL Khamis ini

KUALA LUMPUR, 22 APR: DAP akan menganjurkan Malam Kenangan Karpal Singh Khamis ini bagi memperingati pemergian mengejut ahli politik dan peguam terkemuka itu yang terkorban dalam nahas jalanraya minggu lalu.

Acara itu bakal diadakan di Dewan Besar Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Chung Kwo, Jalan Loke Yew, di sini bermula jam 7.30 petang hingga 11 malam.

Naib Pengerusi Kebangsaan DAP Teresa Kok Suh Sim berkata, acara itu diadakan khas untuk orang ramai yang tidak dapat hadir ke Majlis Penghormatan Negeri di Pulau Pinang Ahad lalu.

“Acara ini untuk mereka yang tinggal di Kuala Lumpur dan kawasan sekitar yang tidak dapat sertai pengebumian di Pulau Pinang.

“Ramai yang tanya (tentang majlis di Kuala Lumpur) dan nak hadir, jadi kami umumkan hari ini supaya ramai yang dapat hadir,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat DAP di sini, pagi tadi.

Setiausaha DAP Kuala Lumpur Lim Lip Eng pula memaklumkan, antara pemimpin yang akan berucap pada malam itu adalah Setiausaha Agung Lim Guan Eng, Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu, aktivis Datuk S Ambiga dan Ahli Parlimen Puchong yang juga anak mendiang, Gobind Singh Deo.

“Hadirin diminta hadir seawal 7.00 petang. Pendaftaran akan dibuka pada 7.30 dan kita jangka acara akan berakhir pada 11 malam,” kata Ahli Parlimen Segambut itu yang turut menjangkakan kehadiran sekitar 5000 orang.

Pada acara itu, DAP akan mengedarkan cenderahati seperti poskad kepada orang ramai, sebagai kenang-kenangan terhadap negarawan yang lebih 40 tahun bergiat di pentas politik negara.

Selain di Kuala Lumpur, DAP juga akan turut menganjurkan majlis peringatan di negeri-negeri lain, antaranya di Perak (25 April), Johor (27 April) dan Negeri Sembilan (2 Mei). – Roketkini.com.