Rencana

ISMA & Penghinaan Terhadap Melayu Islam Serta Bahasa Kebangsaan – Haris Zuan

Isu masyarakat Kristian negara ini menggunakan bahasa Melayu bukan isu baru. Sejak isu penggunaan nama Allah dalam terjemahan Al-Kitab sehingga diheret ke mahkamah, isu ini tidak pernah padam, meskipun reda seketika.

Secara peribadi, saya tidak menyokong isu ini diselesaikan di mahkamah kerana sebagaimana terbukti kini, keputusan mahkamah tidak membantu membaiki kefahaman berkenaan isu ini dalam kala-ngan orang ramai – atau apakah hanya ISMA yang masih kekal keliru?

Baru-baru ini ISMA mempersoalkan pula sebuah gereja di Seremban yang menggunakan bahasa Melayu untuk mempromosi penganjuran Muzikal Easter. Pertamanya, kebanyakan kerajaan tempatan meletakkan syarat penggunaan bahasa Melayu dalam mana-mana kain rentang sebagai syarat asas untuk mendapat permit menggantung kain rentang – setidaknya begitulah yang diamalkan Majlis Perbandaran Pulau Pinang dalam usaha mempromosikan penggunaan bahasa kebangsaan.

Maka atas alasan demikian, saya percaya salah satu sebab mengapa kain rentang tersebut dalam bahasa Melayu adalah kerana bagi memenuhi syarat kerajaan tempatan.

Akan tetapi, jika bukan kerana syarat ini pun, apakah salahnya gereja ini menggunakan bahasa kebangsaan? Mengapa kita tidak punya sentimen yang sama terhadap kain rentang ucap selamat Thaipusam umpamanya? Malah, bukan sahaja orang Melayu kebanyakan, Perdana Menteri juga turut hadir dalam sambutan Thaipusam. Tidak pula ISMA mendakwa Perdana Menteri cuba dimurtadkan.

Pada saat kita kononnya mahu memartabatkan bahasa kebangsaan, kita seolah-olah mahu mengeklusifkan bahasa Melayu hanya kepada orang Melayu Islam. Mungkin atas alasan ini jugalah buku Asal Usul Spesies (2002) terjemahan F Susilohardo dan Basuki Hernowo difatwakan haram, sedangkan buku The Origin of Species (1859) masih lagi bebas beredar dalam pasaran negara.

Apakah bagi ISMA, bahasa kebangsaan hanya untuk orang Melayu Islam sahaja? Jauh lebih penting lagi, apakah ISMA merasakan iman Melayu Islam di negara ini terlalu lemah dan mereka terlalu dungu bagi membezakan acara agama bukan Islam? Semoga ISMA berhenti daripada terus menghina bahasa kebangsaan dan juga orang Melayu Islam di negara ini.

Atau apakah sebenarnya ada yang mahu menimbulkan sentimen anti-Kristian dalam negara ini?

Sikap ini sangat mengelirukan, malah cara ISMA dan beberapa NGO lain yang menggambarkan seolah-olah terdapat gerakan secara terancang dan rahsia untuk memurtadkan orang Melayu Islam khusus untuk masuk dalam agama Kristian amat bercanggah dengan fakta. Sehingga hari ini, tiada siapa dapat membuktikan bahawa terdapat orang Melayu secara beramai-ramai telah menukar agamanya.

Hujah bahawa kain rentang dalam bahasa Melayu tersebut akan menggugat dan memesongkan iman orang Melayu Islam di negara ini bukan sahaja tidak masuk akal, malah amat menghina. Jika memakai logik yang sama, saban hari puluhan, jika bukan ratusan, kain rentang, ceramah Ustaz Azhar Idrus digantung di merata ceruk, mengapa tidak ada berbondong-bondong orang Kristian (dan bukan Muslim lainnya) masuk Islam?

Marilah berhujah dengan fakta, hakikatnya Kristian telah sampai ke rantau ini lebih 300 tahun lalu. Sejak 300 tahun lalu bukan sahaja kain rentang acara keagamaan telah digantung, malah penterjemahan Bible ke dalam bahasa Melayu telah bermula seawal kurun ke-16 lagi. Namun, sehingga hari ini, tiada sebuah pun gereja Melayu wujud di Malaysia.

Malah, kesan daripada penguasaan Belanda ke atas kepulauan Indonesia, di mana bahasa Melayu merupakan lingua franca, bahasa Melayu merupakan bahasa asing pertama di luar Eropah dan Timur Tengah yang digunakan untuk menterjemahkan Bible.

Usaha pertama penterjemahan sebahagian kandungan Bible dalam bahasa Melayu bermula seawal 1628 oleh perdagang dan kerani Syarikat India Timur Belanda Albert Cornelius Ruyl dan Jan van Hasel. Penterjemahan keseluruhan Bible dilakukan oleh Dr Melchoir Leiderkker pada 1691 atas permintaan Gereja di Batavia (Jakarta). Anehnya, selepas 368 tahun sejak terjemahan pertama Bible dalam bahasa Melayu, Indonesia tidak menjadi negara Kristian, sebaliknya Indonesia sehingga kini kekal antara negara Muslim terbesar dunia.

Kemudian, seorang Paderi Anglican di Penang, Robert Hutchings mendapati terdapat lebih 10,000 perkataan (termasuk pengulangan) dalam Bible terjemahan Leiderkker ini tidak terdapat dalam kamus bahasa Melayu William Marsden. London Missionary Society (LMS) kemudiannya menghubungi Munshi Abdullah untuk membantu menyemak Bible terjemahan Leiderkker dan juga memastikan ketepatan kamus bahasa Melayu William Marsden. LMS seterusnya mengirimkan Claudius Thomsen untuk berguru dengan Munshi Abdullah dan seterusnya membaiki terjemahan Bible dalam bahasa Melayu dari tahun 1818 sehingga 1832.

Munshi Abdullah (1796-1854) yang dianggap sebagai ‘Bapa Sastera Melayu Moden’ itu tidak lekas-lekas melenting, meskipun faham agamanya bukan sedikit. Malah, kerana faham agamanya jugalah dia tidak melenting sebagaimana ISMA. Munshi Abdullah maklum, bahawa dengan menterjemahkan Bible, banyak yang dapat dipelajari daripada masyarakat Kristian Eropah ketika itu yang pasti melangkaui persoalan teologi semata-mata. Munshi Abdullah juga sedar bahawa bahasa Melayu bukan semata-mata bahasa orang Melayu tetapi bahasa Nusantara yang dituturkan juga oleh peranakan Baba, India, Eurasian, malah British dan Belanda.

Pada masa yang sama, ternyata Munshi Abdullah tidak gembira dengan hasil terjemahan yang dibuat oleh Thomsen kerana kesulitan untuk menterjemahkan istilah yang kuat dipengaruhi oleh tradisi kosmologi Kristian dalam bahasa Melayu yang sarat dengan konsep keTuhanan Islam yang bukan sahaja berbeza, malah bercanggah. Antara istilah yang Munshi Abdullah rasakan sangat bermasalah adalah Kingdom of Heaven dan Son of God. Masalah ini tidak terselesaikan sehingga kini.

Munshi Abdullah sangat mencintai bangsa Melayu dan agama Islam – sebagaimanya yang tergambar dalam karya beliau Hikayat Abdullah yang banyak menyeru agar orang Melayu menjadi lebih rasional dan banyak menggunakan akal. Semoga ISMA juga akan menuruti nasihat daripada tokoh besar persuratan Melayu ini. – Roketkini

*Tulisan ini memuatkan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Roketkini dan DAP.