Rencana

ANAK MAMI DI PERANTAUAN – Walau sudah tiada, mereka tetap geruni Karpal

Obsesi pihak lawan terhadap mendiang Karpal Singh begitu bersangatan. Seperti obsesi anak-anak gadis kepada Justin Bieber barangkali. Walaupun Karpal sudah tiada, puak-puak ini masih terkenang-kenang akan sosoknya yang begitu tegas dan menggerunkan, hatta lidah mereka basah mengulang sebut nama tokoh DAP itu.

Punyalah obses golongan ini sehinggakan ‘kehadiran’ Karpal masih lagi dirisaukan dan cuba dihalang-halang. Terbaru majlis memperingati mendiang yang dijadual berlangsung di dewan besar SJK(C) Chung Kwo di Kuala Lumpur terpaksa dipindahkan ke Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor. Alasannya? Kementerian Pendidikan menghalang majlis tersebut diadakan di sekolah itu.

sjkc ckIroninya banyak. Namun ironi yang paling besar ialah dewan besar yang mampu memuatkan tiga ribu orang ini bukan dibina dengan duit kementerian pun. Pemangku Pengerusi Kebangsaan DAP yang juga Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai memberitahu sidang media hari ini bahawa dewan tersebut dibina dengan dana yang dikumpul dari masyarakat setempat. Lebih mengejutkan, DAP Cheras sendiri mengutip dan menyumbang RM1.5 juta untuk pembinaan dewan tersebut.

Obsesi dan ketakutan bersangatan ini membuatkan kita sedikit simpati dengan dua tiga kerat aparat pemerintah yang begitu trauma dengan kecelikan rakyat yang kian membuak-buak. Kita faham kerisauan mereka, Karpal memang ahli politik yang hebat. Malah sebaik sahaja bermula ritual pengebumiannya itu, demikian banyak anak muda berpusu-pusu bertanya bagaimana caranya mahu menjadi anggota parti DAP.

Barangkali ada sedikit keramat pada kata-kata mendiang. “Satu Karpal gugur, seratus Karpal akan bangun.” Anak muda yang berjaya menangkap semangat perjuangan Karpal pastinya berasak-asak mahu menjadi salah seorang daripada seratus itu, dan inilah dia akar kerisauan pemerintah. Satu Karpal pun payah disekat, inikan pula ratusan anak muda dengan semangat yang sama.

Ucapan tahniah dan terima kasih harus diberikan kepada pekerja-pekerja media sosial yang diberi makan oleh United Malays National Organisation untuk terus memburuk-burukkan Karpal sehingga ke hari ini. Kerja jahat mereka inilah yang menimbulkan marah anak muda dan rakyat secara keseluruhannya untuk terus melawan dan menyambung perjuangan sang Harimau Jelutong.

Antara kerja jahat ini termasuklah mengada-adakan cerita kononnya Anwar Ibrahim Club menjemput orang ramai ke rumah Ketua Pembangkang itu di Bukit Segambut untuk satu acara tahlil dan kenduri meraikan ‘syahidnya’ Karpal Singh. Ini sah-sah mengarut. Orang gila pun tahu ini hal mengarut.

Apa yang lebih menggelikan hati, ejaan dan nahu posternya juga salah. Mereka yang mengaji sekolah Arab pastinya tahu bahawa ejaan romawi yang betul bagi syuhada’ tidak menggunakan huruf ‘h’ sehingga dibaca ‘syuhadah’. Barangkali tukang buat poster sedang terindu-rindukan si Syuhadah, anak ketua kampung. Entahlah.

Kedangkalan sebegini yang menjadi akar perjuangan Karpal. Semangat melawan pembodohan, ketidakadilan dan sentiasa memberi peringatan supaya jangan main-main.

Semoga mereka yang terus main-main akan dihantui igauan dikejar dan dimakan harimau. – Roketkini.com