Rencana

Apa yang dikenang tentang Karpal Singh?

Esok genap seminggu pemergian penuh tragedi tokoh politik Karpal Singh selepas terlibat dalam kemalangan maut awal pagi Khamis lalu. Ucapan takziah memenuhi garis masa di Facebook dan Twitter. Entah berapa ratus artikel pula ditulis berkaitan peristiwa itu.

Lebih 40 tahun daripada usianya dihabiskan di tengah-tengah masyarakat, jadi tentulah namanya akan terus hidup, beserta seribu pandangan masing-masing terhadapnya. Dan ia akan berubah-ubah pula, mengikut perjalanan masa.

Apakah perkara yang paling diingati tentang mendiang Karpal Singh, khususnya oleh rakyat yang sudah lama mengikuti perjalanan politik tokoh ini?

Media kawalan Umno, khususnya Utusan Malaysia tanpa lelah menanam persepsi ‘anti-Islam’ dalam fikiran rakyat, dengan memainkan ungkapan “langkah mayat saya dulu” berhubung isu Hudud pada tahun 1990 – 24 tahun lalu.

Walhal ia diambil di luar konteks. Entah apa kata-kata yang keluar daripada mulutnya, sebelum dan selepas petikan itu. Malah, beliau telah menjelaskan maksudnya pada Konvensyen Pakatan Rakyat empat tahun lalu.

Tambahnya lagi, “Islam adalah agama rasmi negara. DAP akan mempertahankan itu sehabis-habisnya.” Tetapi tentulah media perdana tidak berminat dengan petikan itu. Saya sendiri baru melihat video itu di Facebook.

Namun, bukan semua termakan propaganda lapuk itu, selepas ia dimainkan tanpa henti selama ini. Ini ditunjukkan dengan ribuan rakyat pelbagai kaum, termasuk Melayu yang membanjiri Dewan Sri Pinang, Georgetown, bagi menyertai Majlis Penghormatan Negeri, Ahad lalu. Saya sempat bertemu dengan beberapa orang Melayu di sana.

image (6)Salah seorang daripada mereka adalah Jamil Ahmad (kiri), dari Padang Serai, yang hadir bersama keluarganya. Bagi Jamil, beliau akan sentiasa mengenang Karpal sebagai ahli politik yang teguh berpegang kepada prinsip dan berani melawan Umno BN.

“Sebut sahaja namanya, orang akan ingat tentang ketegasannya mempertahankan prinsip,” katanya dengan senyuman.

“Saya (juga) akan sentiasa mengingatnya sebagai seorang yang berani melawan Umno-BN, dari dulu sampai sekarang.”

image (7)Bagi Bajuri Tahir (kanan) pula, bekas Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu adalah ‘rakan politik’ yang memberikan sumbangan besar kepada perjuangan menentang salah laku kerajaan.

“Karpal kawan politik saya. Saya datang sini sebagai penghormatan kepada kawan.” Beliau memandang saya penuh makna. Walaupun berbeza pandangan dalam politik, beliau mengakui Karpal memiliki banyak ciri-ciri yang wajar dicontohi ahli-ahli politik, khususnya golongan muda.

“(Pendekatan) Politik Karpal ‘kena’ pada masa ini, dan boleh ditafsir untuk disesuaikan pada masa akan datang. Beliau wajar dicontohi orang-orang muda.” Beliau yang tinggal di Muar, Johor, hadir bersama rakan-rakannya dengan rombongan bas.

Ramai lagi orang Melayu yang hadir bagi memberikan penghormatan terakhir kepada Karpal – tua dan muda, seorang diri mahu pun bersama rakan dan keluarga.

Sudah jam 12 tengah hari. Saya berehat sebentar di halaman di tepi dewan yang sedikit redup. Ramai di situ. Kebanyakannya sedang berbual bersama-sama rakan. Tentulah isi utama perbualan adalah Karpal Singh.

Di hadapan, seorang lelaki tua sedang menggesek biola, lagu ‘Bertemu dan berpisah’. – Roketkini.com