Berita

Jangan sampai ada catuan air, amaran Guan Eng kepada PBAPP

GEORGE TOWN, 23 APR: Kerajaan Pulau Pinang hari ini bertegas bahawa tidak akan ada catuan air dijalankan di negeri itu.

Ketua Menteri Lim Guan Eng memberi amaran kepada Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), bahawa ada yang bakal ‘menanggung akibat’ jika badan itu menjalankan catuan air.

Beliau merujuk kenyataan Pengurus Besar PBAPP Jaseni Maidinsa bahawa negeri itu tetap berkemungkinan menghadapi catuan air dengan alasan kadar hujan lebih rendah daripada jangkaan pada bulan ini.

“Kenyataan itu tidak boleh diterima kerana kerajaan negeri sanggup mengambil keputusan sukar untuk membenarkan kenaikan taraf air.

“Jaseni sudah diberitahu bahawa akan ada yang menanggung akibat jika catuan air tetap dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam kenyataan Ahad lalu, Jaseni menyatakan paras air Sungai Muda dan kapasiti tiga empangan utama yang belum pulih kerana kekurangan hujan serta penggunaan domestik yang tinggi mungkin akan menyebabkan bekalan air dicatu.

Sebelum ini, kerajaan negeri bersetuju dengan cadangan PBAPP untuk menaikkan tarif air bagi mengurangkan pembaziran setelah pendekatan lain yang digunakan sebelum ini gagal.

Sehubungan itu, beliau memberi jaminan kepada pelabur, pelancong, komuniti perniagaan dan orang ramai bahawa arahan ‘tiada catuan air’ adalah keutamaan tertinggi kerajaan negeri.

“Dengan menerima cadangan PBAPP untuk menaikkan tarif, PBAPP perlu bersetuju dengan tidak menimbangkan sebarang kebarangkalian untuk melaksanakan catuan air.

“Saya tegaskan, tidak akan ada catuan air di Pulau Pinang,” katanya lagi.

Tidak boleh naik terlalu drastik

Setiausaha Agung DAP itu bagaimana pun tidak bersetuju dengan cadangan NGO Penang Water Watch (PWW) berhubung kadar kenaikan yang bakal dikenakan.

Presiden PWW Profesor Chan Ngai Weng mencadangkan kenaikan bermula pada penggunaan melebihi 20 meter padu, iaitu 80 sen per meter padu (21 – 30 meter padu), RM1.30 per meter padu (31-40 meter padu) dan kenaikan berganda untuk setiap tambahan 10 meter padu.

Beliau menyifatkan kenaikan itu sebagai terlalu drastik dan menyebut bahawa kerajaan negeri akan memastikan struktur baru tarif akan berjaya mengurangkan penggunaan air dan pada masa sama tidak membebankan pengguna yang berhemah dan miskin. – Roketkini.com