Berita

Kementerian halang guna dewan sekolah untuk Malam Kenangan Karpal

KUALA LUMPUR, 23 APR: DAP hari ini kesal dengan tindakan Kementerian Pendidikan yang mengarahkan SJK (C) Chung Kwo agar tidak membenarkan Malam Kenangan Karpal Singh diadakan di Dewan Besar sekolah itu.

Pemangku Pengerusi DAP Kebangsaan Tan Kok Wai berkata, tindakan itu bukan saja menyusahkan pihak parti tapi menunjukkan bahawa kerajaan masih diselubungi ketakutan mendalam terhadap Karpal walaupun beliau telah meninggal dunia.

“Pihak sekolah kira-kira jam 9 pagi tadi memaklumkan kepada kami bahawa Dewan Besar tidak dapat digunakan atas arahan Pejabat Unit Perhubungan di bawah Kementerian Pendidikan.

“Nampaknya sekali lagi, kerajaan BN telah menggunakan kuasanya untuk menghalang kami dari mengadakan satu acara yang langsung tidak bermotifkan politik.

“Ia hanya sebuah acara untuk memperingati sumbangan besar Karpal Singh dalam memperjuangkan keadilan, demokrasi, dan hak rakyat selama lebih 40 tahun berkhidmat,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat DAP.

Kok Wai yang juga Pengerusi DAP Kuala Lumpur menegaskan, pihak Kementerian sebenarnya tidak mempunyai kuasa untuk melarang majlis tersebut diadakan kerana Dewan itu merupakan hak milik penuh sekolah.

“Saya ingin memaklumkan kepada anda, dewan sekolah itu tidak mendapat dana kerajaan mahupun kementerian.

sjkc ck“DAP Cheras juga telah mengadakan majlis makan malam mengumpul dana dan berjaya mengumpul RM1.5 juta ringgit untuk diberikan kepada sekolah itu bagi pembinaan dewan tersebut.

“Kami juga telah berulang kali membuat pelbagai acara di situ dan tidak pernah berhadapan sebarang masalah, tapi kini sebaliknya berlaku,” ujarnya.

Ekoran larangan tersebut, beliau turut memaklumkan bahawa majlis Malam Kenangan Karpal Singh akan ditukar tempat ke Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur Selangor (KLSCAH) di Jalan Maharajalela, Kuala Lumpur.

“Kami terpaksa menukar lokasi ke KLSCAH, tapi aturcaranya adalah sama seperti yang dirancang sebelum ini.

“Larangan ini sedikit sebanyak mendatangkan masalah kerana kami terpaksa menambah sedikit perbelanjaan ke atasnya,” katanya lagi.

Selain Kok Wai, tokoh lain yang akan hadir dan menyampaikan ucapan dalam majlis malam esok adalah anak Karpal Gobind Singh Deo, Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu dan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng.

Majlis itu juga akan turut dihadiri oleh Penasihat Seumur Hidup DAP Dr Chen Man Hin, mantan Pengerusi Majlis Peguam Datuk Ambiga Sreenevasan, Sasterawan Negara A Samad Said, mantan Pengerusi HAKAM Malik Imtiaz dan Penasihat Khas Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Timor Leste Dr Noeleen Heyzer yang juga isteri kepada tokoh politik DAP mendiang Fan Yew Teng. – Roketkini.com