Berita

Ahli DAP diminta tidak komen isu calon PRK Bukit Gelugor

GEORGE TOWN, 24 APR: Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng meminta pimpinan dan ahli DAP agar tidak memberi sebarang komen berkenaan Pilihanraya Kecil (PRK) Bukit Gelugor bagi mengelakkannya diputarbelit media arus perdana.

Beliau berkata, sebarang pengumuman akan dibuat selepas mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif (CEC) 28 April nanti.

“Jawatankuasa DAP Pulau Pinang akan bermesyuarat petang ini dan CEC pula pada 28 April berhubung persediaan PRK. Pencalonan akan dibincangkan oleh CEC dan ditetapkan oleh Jawatankuasa Pencalonan DAP saya ketuai dan dianggotai Pengarah Pilihanraya Tan Kok Wai dan Ketua Parlimen Lim Kit Siang.

“Tiada pengumuman berkenaan calon akan dibuat sebelum 28 April. Semua pimpinan diminta tidak memberi komen untuk mengelakkan putarbelit media arus perdana.

“Sehingga tempoh itu, saya, Tan dan (Pengarah Pilihanraya DAP Pulau Pinang) Chow Kon Yeow akan menjadi jurucakap berhubung PRK ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pagi tadi menetapkan tarikh penamaan calon bagi PRK Bukit Gelugor adalah pada 12 Mei, dan hari mengundi pada 25 Mei.

Pada PRU lalu, bekas Pengerusi Kebangsaan DAP mendiang Karpal Singh menewaskan calon Barisan Nasional Teh Beng Yeam dengan majoriti 41,778 undi.

PRK Bukit Gelugor akan diadakan berikutan kematian Karpal dalam satu kemalangan jalan raya awal pagi 17 April lalu.

Dalam pada itu, Ketua Menteri Pulau Pinang itu menggesa agar DAP tidak memandang ringan PRK kali ini serta bekerja keras untuk menghadapinya.

“PRK ini tidak mudah untuk DAP kerana sukar untuk kita mendapat kembali majoriti besar yang dimenangi mendiang. Sememangnya, siapa yang dapat menandingi beliau?

“Atas sebab ini, kita tidak boleh mengambil mudah dan mesti ada usaha sepadu untuk menang pada 25 Mei nanti,” katanya lagi. – Roketkini.com