Rencana

Gobok Lama – Semua tabik Karpal

Pagi selepas berita kematian politikus dan peguam terkenal Karpal Singh, kawan memandu dan mundar-mandir di sekitar kawasan pekan berhampiran. Minda masih terkejut dengan berita itu, malah sehari sebelum kemalangan berlaku, kawan sempat bercakap dengan anak lelakinya Gobind, dan pagi esoknya kawan baca twit Gobind tentang pemergian ayahnya.

Kawan tak kenal sangat dengan Karpal begitu juga dengan Karpal yang tak kenal kawan secara peribadi. Kami sekadar bertembung beberapa kali dalam majlis parti. Itu saja.

Sedang memandu sambil fikiran menerawang, tiba-tiba sebuah motorsikal polis memintas kereta kawan. Maka kawan pun himpit ke tepi dan berhenti. Tertanya-tanya adakah kawan lakukan kesalahan trafik tanpa sedar, maklumlah fikiran tengah ‘kosong’.

Polis cek lesen kawan. Ketika tu baru tersedar lesen kawan dah hilang, yang ada cuma lesen asal, lesen yang dah diperbaharui hilang. Aduh! Tentu kena saman, terbang lagi duit poket.

Abg polis mengerling mata memandang kawan, macam nak makan orang saja gayanya. Sedang dia membelek-belek lesen kawan, tiba-tiba dia memandang kembali dan bertanya, kawan ahli DAP ke? Oh ya, baru kawan perasan, kawan pakai baju DAP pagi tu. Entah kenapa, berita kematian Karpal buatkan kawan terasa nak sarung t-shirt DAP. Tak tahu nak tunjuk hormat bagaimana, jadi pakai sajalah t-shirt DAP tu – saja je.

Kawan jawab ya, “ Saya ahli DAP.”

Abang polis dengar dan riak wajahnya berubah seakan terkejut lalu berkata, “ Oh! Awak DAP ya, em… Karpal Singh dah meninggal ya malam tadi?”

“ Ya, betul!” Sepatah kawan jawab.

“Em, kasihan,” sepatah juga dibalas sambil kepala diangguk-angguk seakan memahami sesuatu.

Abang Polis meredupkan matanya sambil membelek-belek lesen lama kawan, kemudian dia hulurkan kembali dan memberi isyarat minta kawan teruskan perjalanan tanpa mengeluarkan apa-apa saman. Lega hati kawan.

Tanpa menyatakan ucapan takziah di mulut pun kita tahu seseorang itu bersimpati dan berperikemanusiaan. Zul Nordin dan Nawawi Ahmad patut belajar benda-benda macam ini. Polis yang kerja kerajaan pun ada hati dan perasaan, bukan macam ‘kome’. – Roketkini.com