Rencana

Kerana kusta anak dan ibu terpisah – Hafiz Zainuddin

Kusta melorek sejarah panjang dalam tamadun manusia. Kajian perubatan menunjukkan bahawa kusta bukanlah penyakit warisan, kusta tidak berjangkit, kusta boleh dirawat dan bukan satu hukuman tuhan. Pun begitu, kita wajar berasa sedih kerana pada suatu masa, tidak ramai orang yang memahaminya. Kini di Malaysia, rawatan bagi pengidap kusta boleh sahaja didapati hospital dan klinik-klinik kesihatan awam.

Akibat stigma dan tahap capaian penyelidikan perubatan di masa lalu, begitu juga pemahaman masyarakat terhadap kusta yang masih cetek di masa ini, boleh disimpulkan bahawa pesakit kusta menjalani kehidupan sengsara didiskriminasi, termasuklah dalam soal hak penjagaan anak-anak.

Pada suatu masa, setiap anak yang dilahirkan oleh ibu bapa kusta perlu dipisahkan kerana dikhuatiri mengakibatkan penularan penyakit. Anak-anak ini pula akan ditempatkan di rumah-rumah kebajikan sekitar dan ramai juga yang diambil sebagai anak angkat. Mereka terpaksa menjalani kehidupan baru jauh dari kasih sejati ibu-bapa sebenar.

Kebanyakan anak-anak ini berketurunan Cina dan ramai di kalangan mereka dijadikan anak angkat oleh pasangan Melayu. Kini, anak-anak yang terpisah itu sudah dewasa. Yang mengetahui asal keturunan, ada yang mencari, ada yang tidak peduli.

Melawan stigma, menjejak asal keturunan

Atas sifat kasih sayang dan peduli, NGO Pasukan Sejarah Lisan Sungai Buloh ditubuhkan mengisi lompong sejarah negara yang makin dilupai. NGO ini bertujuan membantu masyarakat, khasnya keturunan anak-anak perkampungan kusta Sungai Buloh, dalam pencarian asal-usul mereka. Pasukan ini diketuai saudari Tan Ean Nee, bekas pengacara di stesyen ntv7 yang mendedikasikan sepenuh tenaga dan masa beliau memanggung derita emosi anak-anak dan ibu-bapa yang terpisah.

Suatu petang, Ean Nee menghubungi saya melalui nombor telefon yang diperolehinya dari teman merangkap bekas bos saya di MerdekaReview.com, Lim Hong Siang. Beliau menyatakan hasrat untuk menerbitkan sebuah buku versi Bahasa Malaysia berjudul ‘Pertemuan di Pusara’ yang antara lain memaparkan pergulatan emosi dan usaha pencarian waris-waris, anak keturunan Sungai Buloh. Beliau menawarkan saya untuk menjadi editor buku tersebut. Saya menerimanya tanpa banyak soal. Mulai saat itu, saya mendapat pendedahan menyayat hati tentang penderitaan emosi anak-anak bekas pesakit kusta Sungai Buloh yang merindui ibu-bapa mereka yang terpisah sejak beberapa dekad lamanya.

Buku Pertemuan di Pusara mengisahkan pengalaman hidup Puan Noraeni yang merupakan salah seorang waris, anak Sungai Buloh berketurunan Cina. Kisahnya penuh dengan warna warni emosi dan sangat inspiratif. Beliau telah diambil sebagai anak angkat oleh seorang pemandu kepada Tuanku Sultan Kelantan ketika itu. Bermulalah kehidupan baru Noraeni membesar di istana Kelantan dengan curahan kasih sayang pasangan Mohamed bin Haron dan Mek Esah binti Haji Salleh. 20 tahun berlalu, setelah mendapat tahu dirinya adalah keturunan pesakit kusta Sungai Buloh, beliau berusaha keras menjejak semula susur-galur keturunannya.

Pada permulaan, Noraeni bergerak sendiri-sendiri sehinggalah bertemu dengan Ean Nee. Dengan bantuan Ean Nee dan Pasukan Sejarah Lisan Sungai Buloh, pihak media, agensi-agensi kerajaan seperti Jabatan Pendaftaran Negara, Hospital Sungai Buloh dan Pusat Kawalan Kusta Negara, Noraeni berjaya menjejak ibunya di Sungai Buloh.

Harapan Noraeni untuk mendakap, bertemu, memberikan kasih sayang tidak berbelah-bagi rupanya tidak kesampaian apabila mendapati ibu kandungnya Goh Moi Kia telah meninggal dunia. Pun demikian, Noraeni redha, gembira bertemu dengan ibunya walau di pusara. Teka-teki Noraeni sejak puluhan tahun akhirnya terjawab. Beliau akur dengan kehendak takdir.

‘Pertemuan di Pusara’ tidak hanya menceritakan pengalaman yang dilalui Noraeni. Ia turut memaparkan beberapa lagi individu yang senasib seperti kisah Puan Mazita yang berjaya ditemukan dengan ibu kandungnya Booi Nya setelah terpisah 50 tahun.

Tema besar persaudaraan

Segala kisah yang dihimpunkan dalam naskhah ini menyimpulkan bukan semata-mata lakaran emosi dan memori lampau tetapi ia juga menjunjung tema-tema besar persaudaraan sejagat tanpa meletak label pada perbezaan.

Dalam konteks politik negara, agama dan budaya sering menjadi modal politik sempit sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab hingga sedikit sebanyak mencetus resah di kalangan kita. Justeru adalah amat wajar setiap kita memainkan peranan sebagai agen pembaharuan agar generasi akan datang mendapat manfaat yang tidak putus hasil perpaduan utuh seluruh bangsa-bangsa yang berpayung dibawah panji Jalur Gemilang.

Dalam kesempatan ini, ingin saya rakamkan setinggi-tinggi rasa bangga dan bertuah menjadi sebahagian dari tenaga kerja menyiapkan buku Pertemuan di Pusara. Bagi yang berminat mengetahui lanjut mengenai penempatan kusta Sungai Buloh, sila klik http://thewayhome.my/

Puisi: Pertemuan dan Perpisahan di Pusara

Di Sungai Buloh kami berkampung
Hari demi hari menanti-nanti
Putus tali dapat disambung
Putus kasih dibawa mati

Langit sama dijunjung
Bumi sama dipijak
Yang dinanti-nanti tiada berkunjung
Entahkan sudi, entahkan tidak

Dalam akhbar berita sisipan
Hilang anak tolong carikan
Walau 1000 kekesalan dan harapan
Janganlah ayah ibu dipersalahkan

Jikalah ibu dapat mendengar rintihan dan jeritan hatiku ini…

Ibu
Luhurnya hatimu
Sucinya jiwamu
Suara kasihmu
Tidak ku dengari
Belai kasihmu
Tidak ku rasai
Rindumu tiada kesudahan
Cintamu tiada batasan
Ku kau kandung sembilan bulan
Dalam perit melahirkan

Kerakusan undang-undang
Bikinan manusia tanpa ihsan
Merentap naluri insan
Tiada mengenal kasih dan sayang
Di Sungai Buloh ibu terpenjara
Dalam sepanjang usia
Tiada pernah merasa
Meriba, mendukung,memeluk, membelai

Apakah erti sebuah perkahwinan?
Apakah erti sebuah kehamilan?
Apakah erti sebuah kelahiran?
Apakah erti institusi kekeluargaan?

Ibu! Oh…Ibu!
Akanku perjuangkan
Meskiku hanya menemui mu
Di tanda sebuah pusara
Bersemadilah dengan sejahtera!

Nukilan Noraeni Mohamed (Cheong Yee Moi)
18 Disember 2009
(Puisi yang diterbitkan dalam buku Pertemuan di Pusara)