Rencana

Mahasiswa dan intelektualisme – Mohamad Safwandi Bin Suaidi

Melihat realiti sekarang ini, golongan mahasiswa sudah mulai mengalami fasa ‘kemandulan idealisme’. Apakah mahasiswa sudah kehilangan identiti? Ataupun medan gerakan mahasiswa telah terpenjara oleh sistem sehingga memunculkan sikap pragmatik dan tidak ambil peduli dalam golongan yang dianggap intelektual itu sendiri?

Apakah politisasi dan komersialisasi yang melampau-lampau terhadap sistem pendidikan negara telah mengakibatkan mahasiswanya hilang esensinya sebagai juru bicara umat?

Ironinya, mahasiswa yang berperanan sebagai pemimpin masa hadapan lebih banyak menyumbang kepada kebejatan sosial dan permasalahan sivil. Sedangkan golongan intelek inilah yang diharapkan untuk menjadi agen perubahan masyarakat sekaligus sebagai kuasa ketiga yang menjadi pengimbang kepada golongan pembangkang dan pemerintah. Mereka seharusnya membentuk model dan lanskap politik nilai yang lebih sihat.

Mahasiswa dituntut untuk peka terhadap isu semasa. Dengan kata lain, mereka harus menganalisis isu yang berkembang di dalam masyarakat dan bukan hanya mengejar gred dan ‘pointer’ yang tinggi untuk meraih ijazah yang diinginkan dan bukan juga menjadi penyumbang kepada masalah sosial.

Mahasiswa harus mampu untuk mengembangkan bakat dan minat mereka melalui penglibatan terhadap organisasi di luar seperti pertubuhan mahasiswa, pergerakan sivil, wacana awam dan sebagainya disamping memberi kefahaman dan penerangan kepada orang awam terhadap isu yang berlegar di ruang awam.

Mahasiswa adalah golongan yang tidak hanya mewakili sisi kepemudaan, sebagai golongan yang berani, tangkas dan mempunyai semangat juang, akan tetapi mahasiswa juga perlulah mempunyai intelektualisme yang tinggi. Mahasiswa yang mempunyai intelektualisme yang tinggi tentu mempunyai kebolehan sebagai pengemudi perubahan, sebagaimana episod perjuangan mahasiswa yang tercoret dalam sejarah kebangkitan mahasiswa di Tanah Melayu.

Sorotan sejarah perjuangan mahasiswa dalam peristiwa Baling 1971, tidak hanya tertoreh oleh merahnya darah keberanian mahasiswa, tetapi juga dengan hitamnya pena para intelektual pada zaman tersebut. Mahasiswa pada era berkenaan merupakan mahasiswa yang berintelek, kritikal dan punyai aktivisme serta idealisme perjuangan yang cukup jelas.

Tetapi sekarang bukanlah masanya untuk mengenang perjuangan masa lalu, bukan lagi saatnya untuk mendongeng mengenai identiti. Kini masanya untuk kita berbicara tentang realiti era ini.

Mahasiswa sekarang perlu mengeluarkan diri mereka daripada minda yang terpenjara dan mengembangkan sahsiah dan penggunaan akal budi secara baik.

Golongan mahasiswa intelektual ini berperanan lebih daripada seorang penuntut di universiti dan institut. Mereka memberikan pencerahan keilmuan kepada masyarakat yang ingin membebaskan minda daripada terus ditawan.

Golongan mahasiswa yang intelektual juga perlu membetulkan kesilapan yang telah menimbulkan kekeliruan rakyat dan dijadikan ladang subur untuk menyemai benih kebencian, iaitu ketidaksukaan kepada kegiatan berfikir dan kesukaan menjadi pak turut. Semangat berani berfikir, sapere aude, perlu dikembangkan di samping membina disiplin ilmu yang tinggi.

Pendek kata, mahasiswa tidak harus hanya tertumpu pada lapangan ilmu di universiti semata-mata, bahkan keterlibatan mereka dalam ruang awam amatlah dituntut.

Sejarah telah membuktikan peranan mahasiswa dalam perubahan masyarakat dan pola politik negara. – Roketkini.com