Berita

Ujian air kencing harian terhadap pemandu bas tidak akan bantu basmi kemalangan

KUALA LUMPUR, 24 APR: DAP menyambut baik cadangan kerajaan agar melakukan ujian air kencing harian terhadap pemandu bas, namun berpendapat pendekatan tersebut bukanlah langkah yang berkesan dan terbaik.

Ahli Parlimen DAP Segambut Lim Lip Eng menyarankan kerajaan agar melakukan kajian terlebih dahulu sebelum melaksanakan cadangan ujian air kencing harian terhadap pemandu bas.

“Ujian air kencing ini sepatutnya dijalankan secara rawak, berkala dari semasa ke semasa dan bukannya setiap hari.

“Kajian akademik harus dibuat oleh pakar-pakar dalam bidang berkaitan dengan kemalangan bas sebelum ujian air kencing dilaksana secara serta-merta,” katanya dalam kenyataan, semalam.

“Saya akui idea ini sangat baik tapi kajian lebih mendalam diperlukan kerana ia merupakan satu tugas yang sangat berat, melibatkan kos tinggi jika dilakukan secara besar-besaran, memakan masa dan menyusahkan orang ramai,” tambahnya.

Setiausaha DAP Kuala Lumpur itu turut menyatakan tidak ada mana-mana negara di dunia yang menjalan ujian air kencing harian terhadap pemandu bas dan yakin bahawa ia tidak akan bertahan lama.

22 April lalu, Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Aziz Kaprawi telah mengumumkan ujian air kencing di semua terminal bas akan dimulakan setiap hari untuk memastikan tahap kesihatan pemandu bas sentiasa berada dalam keadaan baik, sekaligus dapat membasmi kemalangan.

Abdul Aziz menyatakan operasi yang melibatkan seramai kira-kira 8,600 pemandu itu akan dilaksanakan dengan kerjasama di antara Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan.

Dalam pada itu, Lip Eng yang juga seorang peguam sekali lagi mengulangi gesaannya dua minggu lalu bahawa ujian air kencing secara rawak untuk polis mesti dilakukan secara teratur.

“Sebuah laporan berita baru-baru ini telah mendedahkan bahawa 14 daripada 100 pegawai polis yang telah menghadiri kursus integriti didapati positif dadah.

“Sebab itu ujian air kencing perlu dijalankan secara teratur kerana ia menjejaskan integriti polis dan orang ramai perlu dimaklumkan tentang tindakan apakah yang dikenakan terhadap pesalah yang mempunyai kebenaran untuk membawa pistol ini,” ujarnya. – Roketkini.com