Berita

Jangan pernah lupa jasa dan pencapaian Karpal

KUALA LUMPUR, 25 APR: Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mengajak orang ramai supaya jangan pernah sesekali melupai jasa dan pencapaian Karpal kepada negara.

“Saya berharap anda dapat meneruskan pencapaian yang ditinggalkan Karpal. Bagi pihak DAP, kami beri jaminan bahawa segala perjuangan Karpal akan diteruskan.

“Pakatan yang memegang pemerintahan di Pulau Pinang akan sentiasa mencuba untuk mempraktikkan apa yang telah diperjuangkan untuk semua.

“Salah satu darinya yang amat penting adalah memansuhkan hukuman mati, tapi kita tidak boleh melakukannya kerana tidak memerintah di peringkat persekutuan,

“Tetapi sekurang-kurangnya di Pulau Pinang kami tidak pernah membenarkannya sepanjang 6 tahun ini,” katanya ketika menyampaikan ucapan dalam majlis Malam Kenangan Karpal Singh di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur Selangor (KLSCAH), semalam.

Ketua Menteri Pulau Pinang itu yang juga berkongsi sel yang sama dengan Karpal di Penjara Kamunting satu ketika dulu turut menyarankan orang ramai supaya bekerja dengan lebih kuat dengan memenangkan Pakatan pada Pilihan Raya akan datang sebagai penghormatan kepada Harimau Jelutong itu.

“Marilah kita semua terus mengingati Karpal di tahun 2018 nanti.

“Bolehkah kita melakukannya? Bolehkah semangat membara ini dikekalkan dengan memberi hadiah terbaik pada Karpal untuk Malaysia yang baru?,” tanya Guan Eng disambut laungan ribuan hadirin.

Guan Eng turut berkongsi dengan hadirin pesan yang selalu disampaikan Karpal pada beliau iaitu jangan pernah fikir kalah atau menang dalam perjuangan kerana perkara paling penting adalah menegakkan kebenaran. – Roketkini.com