Berita

‘Perjuangan mesti diteruskan’ – Gobind Singh Deo

KUALA LUMPUR, 25 APR: “Perjuangan mesti diteruskan! Jangan main-main!” kata Ahli Parlimen DAP Puchong yang juga anak kepada mendiang Karpal Singh, Gobind Singh Deo di Malam Kenangan Karpal Singh semalam disambut sorakan gemuruh lebih 3,000 hadirin.

“Apa yang penting ialah untuk memastikan kita terus berlawan. Kita perlu bangkit menyelesaikan perjuangan beliau (Karpal),” katanya.

Gobind turut mengucapkan penghargaan kepada semua rakyat Malaysia yang tidak henti-henti menyatakan takziah dan simpati terhadap pemergian tragik ‘Harimau Jelutong’ dalam kemalangan jalan raya, minggu lalu.

“Pastinya kita mengambil masa untuk pulih seperti biasa selepas kehilangan ini.

“Bagi pihak keluarga, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang menyampaikan simpati, kepada anda semua yang memberikan ‘ucapan selamat jalan’ yang selayaknya untuk Harimau Jelutong,” katanya lagi.

Majlis di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur-Selangor (KLSCAH) menyaksikan beberapa tokoh menyampaikan ucapan menghargai perjuangan lebih 40 tahun bekas Pengerusi Kebangsaan DAP itu kepada negara.

Antara yang berucap adalah Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang, Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu, aktivis dan juga mantan Pengerusi Majlis Peguam Datuk S Ambiga dan Penasihat kepada Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu berhubung Timor-Leste Dr Noeleen Heyzer.

Tidak perlu ihsan Peguam Negara

Dalam pada itu, Gobind dengan tegas menyatakan keluarganya tidak akan sesekali mengharapkan belas ihsan Pejabat Peguam Negara agar menggugurkan rayuan balas dalam kes rampasan kuasa kerajaan Pakatan Perak pada tahun 2009.

Karpal sebelum ini dijatuhkan denda RM4,000 di bawah Akta Hasutan 1948 dan berkemungkinan hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen, selepas memberikan pendapat perundangan berhubung isu itu.

“Beliau dihukum kerana mempertahankan Perlembagaan. Kami tidak perlu ihsan dan simpati daripada Peguam Negara. Kami akan berjuang sehingga selesai, kerana itulah yang akan ayah saya lakukan,” katanya.

Selain ucapan pimpinan, acara semalam turut diserikan dengan deklamasi puisi Sasterawan Negara Datuk A Samad Said dan aktivis Hishamuddin Rais, serta persembahan pemuzik Nik Jidan yang diiringi gesekan biola Norman daripada kumpulan Dewangga Sakti.

KLSCAH mula sesak seawal jam tujuh malam walau pun majlis dijadualkan bermula sejam kemudian. Di akhir majlis, semua hadirin naik ke pentas dan meletakkan bunga di kaki potret Karpal sebagai penghormatan terakhir kepada beliau.

Selain tokoh-tokoh politik, turut hadir adalah wakil-wakil NGO dan badan agama, serta wakil daripada Kedutaan Finland, Suruhanjaya Tinggi British dan Suruhanjaya Tinggi Australia. – Roketkini.com