Berita

Tanpa hudud pun PAS mampu dapat undi Melayu

KUALA LUMPUR, 30 APR: Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng hari ini menyatakan bahawa PAS akan mampu memenangi undi undi Melayu sekali pun ia tidak melaksanakan undang-undang hudud.

Menurut beliau, faktor yang menentukan kemenangan dalam pilihanraya adalah tumpuan kepada pengurusan ekonomi dan tadbir urus yang baik, bukannya hudud.

“Jika UMNO boleh menang PRU dan undi Melayu tanpa berkempen untuk melaksanakan hudud, PAS boleh melakukan perkara sama dengan memberi tumpuan kepada isu-isu kehidupan, peluang ekonomi dan pendidikan kerana ia merupakan faktor utama yang akan menentukan kemenangan dalam Pilihanraya Umum (PRU) akan datang.

“PR telah mencatat kejayaan dalam PRU 2008 kerana kegagalan UMNO menangani ekonomi dan tadbir urus, yang membawa kepada rasuah serta salah guna kuasa. PAS juga menang ketika itu tanpa berkempen untuk melaksanakan hudud,” katanya.

Malah, menurut Ketua Menteri Pulau Pinang itu, UMNO sendiri telah memenangi banyak kerusi dan sokongan masyarakat Islam walaupun Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengisytiharkan pada 25 September 2011 bahawa kerajaan tidak akan menguatkuasakan hudud di Malaysia.

Najib pada waktu itu menyatakan hudud tidak diperlukan kerana unsur-unsurnya sudah ada dalam sistem perundangan, kecuali ‘bahagian yang melampau’.

“Namun Najib kini telah berundur dari kenyataan sebelumnya apabila beliau secara terbuka menyambut baik cadangan hudud dan bersedia untuk bertemu pemimpin PAS untuk berbincang.

“Jelas sekali UMNO tidak mempunyai prinsip dan kini menyokong pelaksanaan hudud untuk memerangkap PAS, dengan niat semata-mata untuk memecah-belahkan Pakatan Rakyat,” ujarnya. -Roketkini.com